PENGURUS Besar Ducati, Luigi Dall’igna mengakui tidak terlalu risau dengan prestasi semasa yang ditunjukkan pelumbanya, Jorge Lorenzo.

Ini berikutan kejatuhan prestasi pelumba Sepanyol itu di dua sesi pra musim yang berlangsung di Thailand dan Qatar sebelum ini.

Bagaimanapun, Dall’igna membela pelumbanya itu dan menyifatkan Lorenzo mempunyai peningkatan di sesi pra musim terakhir yang berlangsung di Litar Losail baru-baru ini.

"Saya tidak akan mengatakan saya terlalu risau kerana prestasi semasa Lorenzo dipengaruhi oleh pelbagai faktor lain.

"Bagi saya catatan yang dilakukannya di Qatar sudah meningkat, jadi saya yakin dia akan bangkit di perlumbaan sebenar nanti," katanya.

Mengulas tindakan Lorenzo yang mengkritik jentera baharunya dan membuat perbandingan di antara Desmosedici GP17 dan GP18 ketika di Thailand, Dall’igna menyifatkan tindakan itu dilakukan kerana atas faktor emosi.

"Tidak benar jika mengatakan Lorenzo hilang arah di Thailand. Kami sedang melakukan eksperimen di sana, jadi ia bukanlah satu masalah besar.

"Lorenzo masih mempunyai waktu untuk menyesuaikan diri dengan kenderaan ini," kata bekas pelumba Aprilia itu lagi.