PENAMPILAN sulung pada Kejohanan Badminton All England mahu digunakan sebaik mungkin oleh pemain perseorangan wanita, Goh Jin Wei untuk menimba pengalaman serta mengembalikan prestasi sebenar.

Jin Wei yang menampilkan persembahan buruk dalam Terbuka Jerman minggu lalu berharap All England yang bermula esok sehingga Ahad ini mampu menjadi pentas untuk dia kembali pada prestasi terbaik.

Namun katanya, walaupun sudah tidak sabar untuk turun ke gelanggang dan mencipta kejutan di Birmingham, tapi dia perlu mengawal tekanan dengan baik ketika berdepan pemain terbaik dunia.

"Saya tidak mengharapkan untuk menjadi juara, cuma mahu menikmati setiap aksi dengan sebaiknya. Jika hanya fikir hendak menang saja, nanti sukar untuk memberikan aksi terbaik.

“Saya juga harap meraih semula keyakinan kerana kebelakangan ini saya bermain dengan agak teruk, namun jika dapat mengecewakan pemain ternama itu bonus buat saya,” kata juara remaja dunia 2015 itu.

Jin Wei yang turun beraksi esok akan menentang pemain China, He Bingjiao di pusingan pertama dan jika menang cabaran sukar menanti pemain berusia 18 tahun itu apabila dijangka bertemu pilihan keenam dari Korea Selatan, Sung Ji Hyun untuk aksi pusingan kedua.

“Ini adalah Kejohanan besar dan kita tak boleh harapkan undian mudah, semua pemain pun melalui situasi sama.

"Undian tak penting yang paling penting adalah fokus kepada permainan sendiri,” katanya.