PUTRAJAYA - Perkhidmatan e-hailing akan dikawal selia oleh kerajaan bermula esok bagi memberi kesaksamaan kepada industri teksi.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, tindakan itu dibuat selepas mendengar pelbagai keluhan pemandu teksi dan e-hailing.

Menurutnya syarikat-syarikat e-hailing mesti berdaftar dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) sebagai Perniagaan Pengantaraan dan perlu membayar fi sebanyak RM115 seorang.

"Tempoh setahun dari tarikh kuat kuasa akan diberikan kepada Perniagaan Pengantaraan untuk memenuhi kesemua syarat dikenakan bagi mendapatkan 'Lesen Perniagaan Pengantaraan',"katanya pada sidang media di kementerian itu, hari ini.

Sementara itu, beberapa syarat dikenakan termasuk kelayakan memperoleh lesen, syarat kenderaan, kelayakan pemandu dan syarat berkaitan operasi.

Menjelaskan mengenai kesaksamaan yang akan dilaksanakan, Anthony berkata ianya termasuk pemeriksaan kenderaan di Puspakom.

"Pemeriksaan meter bagi kelas lesen teksi akan dilakukan sekali setahun berbanding dua kali setahun sebelum ini manakala latihan pemandu menggunakan modul latihan yang mengambil masa enam jam sahaja dengan bayaran RM200 seorang,"jelasnya.

Sementara itu Anthony berkata, terdapat juga rungutan daripada pemandu e-hailing berkaitan ketidak adilan syarikat e-hailing yang menekan pemandu dengan mengenakan kadar komisen yang tinggi sehingga 25 peratus.

"Kerajaan menetapkan supaya mengutip kadar komisen maksima 10 peratus bagi perkhidmatan e-hailing yang dijalankan pemandu teksi.

“Kadar komisen maksima ditetapkan sebanyak 20 peratus bagi perkhidmatan menggunakan kenderaan persendirian manakala kadar surcaj dihadkan kepada dua kali ganda dari harga tambang,"ujarnya.

Sementara itu Anthony berkata terdapat kira-kira 10 syarikat menawarkan perkhidmatan e-hailing di negara ini yang mana kini perkhidmatan berkenaan menjadi trending di seluruh dunia termasuk Malaysia.

Berdasarkan kajian SPAD, 52 peratus daripada 46,000 penumpang memilih menggunakan aplikasi  e-hailing dan 70 peratus daripada memilih perkhidmatan itu diselia kerajaan.

Jumlah perjalanan syarikat e-hailing semakin meningkat daripada 6 juta sebulan pada 2016 kepada 18 juta sebulan pada 2018.

Antara syarikat yang menyediakan perkhidmatan tersebut di negara ini antaranya Uber, MyCar, JomRide dan Dacsee dan Riding Pink.

Pada masa sama terdapat kira-kira 67,000 buah teksi yang beroperasi seluruh negara yang mana 52 peratus daripadanya dimiliki pemandu teksi itu sendiri.