MENTERI Besar Perak diminta mempertimbangkan semula perletakkan jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa), Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim yang diumumkan petang semalam.

Bekas pemain bola sepak Perak, Khalid Jamlus dalam status yang dimuat naik beliau di laman Fecebook berkata, dia melihat semangat dan iltizam Hasnul Zulkarnain yang masih muda selain komitmen yang ditunjukkan beliau kepada pasukan bola sepak Perak.

"Saya tidak berniat untuk bertindak sebagai menjilat atau membodek tapi percayalah, pemain, jurulatih, pengurusan pasti terganggu atas konflik ini.

"Dosa yang dilakukan tidaklah sebesar mana yang tidak dapat diampunkan, setiap manusia pasti membuat kesilapan dan siapalah kita untuk menghukum lebih-lebih lagi permohonan maaf telah pun dilakukan," katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Hasnul umum letak jawatan Presiden Pafa]

Tambahnya, satu lagi peluang perlu diberikan kepada Hasnul Zulkarnain untuk terus menerajui Pafa demi masa depan dan juga perancangan serta idea-idea beliau untuk menaikkan martabat bola sepak Perak.

"Ikhlas dilubuk hati saya, selaku bekas pemain, saya memuji beberapa langkah beliau ketika mengendalikan Pafa tetapi pada masa yang sama saya tidak bersetuju atas apa yang beliau lakukan terhadap piala keramat itu.

"Kalau orang bertanya kepada saya adakah saya boleh menerima semua ini, jawapan saya ya, kerana saya pernah melalui lebih kurang macam beliau, di mana mereka semua membenci saya, tapi saya masih diberi kepercayaan, akhirnya saya buktikan, jadi kenapa beliau tak boleh diberi peluang lagi," katanya.