JOHOR BAHRU - Kemampuan pemain tempatan dalam skuad Johor Darul Ta’zim (JDT) masih meyakinkan dan boleh memainkan peranan masing-masing dalam setiap perlawanan yang ditempuhi pasukan berkenaan.

Ketua Jurulatihnya, Raul Longhi berkata, pemilihan pemain tempatan tidak memberi sebarang masalah kepada pemilihannya malah gembira dengan semangat dan motivasi setiap pemain itu ketika diturunkan.

“Saya sangat gembira dengan semua pemain tempatan yang ada, mereka mencuba sehabis baik untuk merealisasikan ‘good football’ JDT, untuk berlawan dan menunjukkan semangat terbaik dalam memenangi setiap perlawanan yang ada.

“Sebenarnya, semua pemain dalam JDT adalah penting, mereka ada keperluan dan tugas masing-masing untuk memantapkan setiap perlawanan yang pasukan akan harungi,” katanya pada sidang media saingan peringkat kumpulan Piala AFC, di sini, sebentar tadi.

JDT yang bakal berdepan seteru dari Singapura, Tampines Rovers nyata tampak yakin meskipun berkemungkinan tidak akan menurunkan watak utama dalam saingan di Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos Larkin, malam esok.

Longhi berkata, penjaring sensasi JDT, Luciano Figueroa adalah salah satu pemain yang tidak akan diturunkan pada perlawanan tersebut disebabkan faktor kecederaan.

“Lucho tidak akan ada dan untuk Marcos Antonio pula saya masih lagi belum tahu, kita akan melihat dulu sebelum membuat sebarang keputusan.

“Ia akan menjadi satu perlawanan yang sukar, saya menghormati semua pasukan yang bertanding, tetapi sasaran kami adalah kemenangan dan tiga mata penting itu amatlah diperlukan,” katanya.

Mengulas mengenai keadaan kelebihan beraksi sebagai tuan rumah, beliau memberitahu keadaan itu sangat melegakan tatkala beberapa perlawanan sebelum ini pasukannya terpaksa berjalan jauh dan beraksi sebagai pemain bertandang.

“Dapat main semula di Larkin adalah sesuatu yang bagus. Adalah sangat penting kepada kami untuk bermain di sana. Kita mempunyai kekuatan dan sokongan penyokong memang sangat berguna untuk motivasi pemain saya.” katanya.