JAKARTA – INDONESIA. Kenyataan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung harapan supaya kerajaan Indonesia tidak memberhentikan penghantaran pembantu rumah ke Malaysia, dipetik dan disiarkan secara meluas oleh media Indonesia hari ini.          

Agensi  berita Antara dipetik berkata: "Malaysia Dirugikan Rencana Penghentian Pekerja Indonesia".         

Media-media dalam talian di Indonesia juga melaporkan Malaysia akan kerugian jika berlaku pemberhentian pekerja dari Indonesia.          

Semalam,  Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri dilaporkan berharap tidak berlaku tindakan sedemikian berikutan kes penderaan sehingga membawa maut yang berlaku di Bukit Mertajam, Pulau Pinang baru-baru ini.    "Kita (Malaysia) melahirkan rasa terkilan jika benar pihak Indonesia, mengikut laporan media, akan menghentikan penghantaran pembantu rumah ke negara kita disebabkan kes terpencil yang berlaku  berhubung penderaan terhadap pembantu rumah," kata Ahmad Zahid.

Media dalam talian di Indonesia sebelum ini melaporkan Jakarta merancang untuk membekukan penghantaran pembantu rumah ke Malaysia susulan kematian Adelina Lisao, 26, yang didera di rumah majikannya.           

Ahmad Zahid dipetik berkata beliau  akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Tenaga Kerja Indonesia, Muhammad Hanif Dhakiri bagi membincangkan semula soal keselamatan pekerja dan pembantu rumah warga Indonesia di Malaysia.   Sementara itu Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Seri Zahrain  Mohamed Hashim berkata kerajaan Malaysia tidak akan berkompromi terhadap kes-kes penderaan, apatah lagi yang membabitkan kematian pekerja Indonesia di Malaysia.  Beliau berkata siasatan rapi dan tindakan undang-undang akan diambil terhadap mereka yang terbabit.           

"Saya ingin mengungkapkan ucapan belasungkawa dan simpati atas kejadian yang terjadi kepada Adelina, tenaga kerja Indonesia yang meninggal dunia dan dipercayai akibat disiksa.            

"Kerajaan Malaysia melalui Polis Diraja Malaysia sedang melakukan siasatan dalam kes ini. Sekiranya terbukti bersalah, pelaku yang menyebabkan kematian ini akan menghadapi hukuman yang amat berat iaitu hukuman mati kerana kes ini diklasifikasikan sebagai kes pembunuhan," katanya. - Bernama