SHAH ALAM -  Pemuda Umno Bahagian Shah Alam menerima ketua pemuda baharu, Mohd Dendera Billah Zamzuri bagi menerajui kepimpinan sesi 2018-2021.

Keputusan itu diumumkan selepas selesai proses pemilihan melibatkan 220 orang wakil perwakilan Pemuda Bahagian Shah Alam yang dijalankan di Bangunan Umno Selangor,  di sini, hari ini.

Mohd Dendera Billah memenangi pertandingan dua penjuru selepas menewaskan lawannya, Mohamad Redza Mhd Karimun.

Mohd Dendera Billah memperoleh majoriti 138 undi apabila mendapat 179 undi mengatasi pencabarnya, Mohamad Redza yang hanya mendapat 41 undi.

Sementara itu, kerusi Naib Ketua Pemuda Umno Bahagian Shah Alam masih dikekalkan oleh penyandang terdahulu, Mohd Hafiz Abdul Rahman yang menang tanpa bertanding.

Sementara itu, Mohd Dendera Billah ketika ditemui berkata, beliau bersyukur dengan kemenangan tersebut dan menganggap mandat baharu sebagai ketua pemuda itu adalah amanah yang tidak boleh disia-siakan.

"Saya yakin dengan barisan pemuda baru ini dan kita akan bekerja sebagai satu pasukan.

"Kita tidak akan berlengah dan akan terus berusaha membuat pembaharuan bagi mencorakkan hala tuju parti dalam tempoh sehingga 10 tahun akan datang," katanya tekad mendekati anak muda bagi melahirkan pemimpin yang bersih pada masa akan datang.

Menurutnya, beliau juga akan berusaha mencari ruang dan peluang bagi menonjolkan semula peranan Pemuda Umno Shah Alam.

"Kita akan jalin kerjasama dengan NGO serta buat pelbagai aktiviti yang di luar jangkaan bagi mendekati dan menarik minat lebih ramai anak muda," katanya mengakui turut berdepan cabaran permainan persepsi yang sangat tinggi khususnya di bandaraya Shah Alam ini.

Dalam pada itu, Bekas Ketua Pemuda Umno Shah Alam,  Ahmad Mua'adzam Shah Ya'kop berkata,  beliau melihat rata-rata Pemuda Shah Alam masih kuat dan bersemangat.

"Saya yakin Pemuda Umno Shah Alam tidak akan berputus asa dan Umno akan terus jadi parti yang lebih baik untuk orang Melayu,"katanya.