SHAH ALAM - Mengimbau kemeriahan sambutan Hari Raya Aidilfitri di zaman kanak-kanak pasti meninggalkan senyuman dan bakal terpahat dalam ingatan.

Dalam satu temubual bersama Astro Awani, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, meraikan hari kemenangan selepas sebulan berpuasa bersama ahli keluarganya yang ramai semestinya menggamit kenangan semasa zaman kanak-kanaknya.

“Dulu waktu zaman kanak-kanak memang berbeza kemeriahannya memandangkan kami mempunyai ahli keluarga yang ramai. Boleh bakar mercun.

“Ada juga kami pergi marhaban dari rumah ke rumah,” katanya.

Sama seperti kanak-kanak lain, Muhyiddin antara yang tidak ketinggalan berkunjung ke rumah jiran tetangga untuk mengumpul duit raya selain menikmati kuih pelbagai juadah raya.

Namun, sambutan hari rayanya berubah sebaik sahaja beliau berhijrah ke kota.

“Walaupun keadaan tidak lagi sama namun ia tetap meriah tapi dalam keadaan yang baharu,” katanya.

Beliau turut mengucapkan selamat hari raya dan mengajak semua untuk menjadikan Syawal sebagai bulan untuk saling mengingati mereka yang kurang bernasib baik.

“Mudah-mudahan dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab, segala amalan kita diterima oleh ALLAH seterusnya menjadikan hari raya ini cukup bermakna bagi diri kita,” katanya.