KUALA LUMPUR - Kerajaan akan memberi fokus terhadap industri digital kerana ia dilihat sangat penting dan berpotensi dalam pelbagai sektor pada masa depan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata, bagi menjayakannya, Malaysia mesti mengalu-alukan industri baharu itu, sekali gus mengembangkan bakat muda dalam teknologi digital seperti robotik dan kecerdasan buatan pintar atau AI. 

Beliau berkata, bagaimanapun usaha awal itu memerlukan guru dan ibu bapa untuk turut sama memainkan  peranan bagi mengenal pasti bakat generasi muda atau anakanak mereka dalam dunia teknologi digital itu.

Menurutnya, jika dilihat menerusi internet, pelbagai inovasi serta  bakat kreatif ditonjolkan anak muda di negara ini dan ada yang berkemampuan menghasilkan permainan, aplikasi tertentu dan bermacam produk digital lain.

Justeru itu katanya, negara perlu mempunyai satu sistem atau infrastruktur  yang baik untuk membawa bakat generasi muda ini ke depan.

“Setiap hari kita dengar Singapura, Vietnam, mahupun negara  lain mempunyai ciptaan baharu. Jika kita tak ambil kesempatan sekarang untuk mencipta sistem atau
infrastruktur di mana kita boleh membantu industri, kita akan kehilangan peluang keemasan ini.

“Kerajaan menerusi kementerian ini akan membangunkan industri digital ini dengan memastikan akses sama kepada internet bagi penduduk bandar dan luar  termasuk penekanan mengenai celik digital.

“Tiada guna jika kita ada akses atau kemudahan yang baik, tapi tiada  pendidikan mengenai kebaikan yang kita boleh peroleh daripadanya dan begitu juga  sebaliknya,” katanya pada sidang media selepas menjadi panel forum bertajuk ‘Persediaan Bakat untuk Masa Depan’ sempena pameran #mydigitalmaker Fair
2018, anjuran Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Kementerian Pendidikan di Axiata Arena, Bukit Jalil, Ahad lalu.

Gobind (dua, kiri) bergambar bersama dua panel dan moderator forum bertajuk ‘Persediaan Bakat untuk Masa Depan’.

 

Gobind berkata, pihaknya juga mengambil pendekatan membangunkan infrastruktur dan mengusulkan  idea untuk menyediakan pendidikan di peringkat awal sekolah
mengenai teknologi digital itu.

“Semua kanak-kanak kini mempunyai akses kepada telefon pintar  pada usia sangat muda, adalah penting bagi kita memastikan mereka memahami kuasa internet,” katanya.

Selain itu katanya, kerajaan juga boleh membantu dari segi menyediakan  bantuan kewangan kepada pereka digital untuk membawa produk ciptaan mereka ke depan dan bekerjasama dengan sektor swasta dari segi mendapatkan tajaan.

“Kita sangat komited memastikan Malaysia bersedia untuk berdepan cabaran dan beralih ke era digital ini. Kita yakin perkara ini akan berjaya direalisasikan," katanya.

 

Gobind dan Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Datuk Yasmin Mahmood (duduk, tengah) mendengar penerangan daripada seorang Digital Ninja berkenaan hasil ciptaannya.