KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sehingga kini tidak terima sebarang permohonan penganjuran 'Oktoberfest 2018' di Mid Valley, hari ini.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, bagaimanapun, DBKL tidak halang pesta arak itu selagi tidak melanggar undang-undang.

Menurutnya, ia mengambil kira pesta di kompleks membeli-belah itu dijalankan secara tertutup dan tidak dilakukan di kawasan terbuka.

“Memang setakat ini saya tidak menerima sebarang permohonan. Mid Valley tu kita pergi (buat tinjauan) sebab ia di dalam.

"Tapi kita tetap akan pantau, jika dibawa keluar kita sita,”katanya.

Beliau berkata, pemantauan akan tetap dilakukan terhadap penganjuran tersebut.

“Oktoberfest itu kalau dalam premis tidak ada keluar, tidak ada mabuk kacau orang dalam premis tidak apa sebab mereka memang jual arak, alkohol di dalam tu.

“Kalau minum dalam premis tu, minumlah tapi kalau letak iklan besar-besar itu tidak boleh, itu kita akan turunkan bagaimana kita telah buat terhadap iklan yang dipasang di Sungai Besi kita turunkan serta merta,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Komuniti Strata Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2018, di sini, hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Oktoberfest tak sesuai dianjurkan]

Terdahulu pada Selasa lalu, Menteri Wilayah Khalid Samad berkata, pesta arak 'Oktoberfest 2018' boleh dianjurkan jika pihak penganjur membuat permohonan bagi mendapatkan permit dan mematuhi kesemua garis panduan yang ditetapkan DBKL.

Beliau berkata, antara garis panduan yang perlu dipatuhi penganjur ialah orang Islam tidak dibenarkan terlibat dan tidak dijalankan di tempat terbuka.