PELAKON dan pelawak terkenal, Accapan atau nama sebenarnya Samynathan A/L Rethinam meninggal dunia pada jam 2.43 pagi tadi pada usia 63 tahun akibat masalah kegagalan buah pinggang.  

Menurut anak bongsu mendiang, Yhuveneshwary, upacara penghormatan terakhir akan dilakukan di rumahnya sekitar jam 3 petang ini di Taman Puchong Utama, Puchong, Selangor.

Accapan meninggalkan seorang isteri Yogeswari Subramaniam, 53 dan tiga orang anak iaitu Vikneshwaran Samynathan, 31,

Dhineshwaran Samynathan, 28, Yhuveneshwary Samynathan, 24.  

Dilahirkan di Parit Buntar, Perak pada 27 Januari 1958, mendiang merupakan seorang pelawak yang popular dari era 70an dan 80an bersama pelawak-pelawak keturunan India lain seperti Param.

Sepanjang hayatnya, mendiang telah banyak berlakon di dalam drama dan filem tempatan dengan pelbagai watak yang mencuit hati serta meninggalkan kesan kepada penonton.  Antaranya sitkom popular adalah Pi Mai Pi Mai Tang Tu.

Seniman dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, mewakili seluruh kepimpinan tertinggi dan exco Seniman Malaysia serta ahli-ahli Seniman mengucapkan salam takziah kepada keluarga mendiang.