PENGURUS Perancis, Didier Deschamps mengakui pasukannya terpaksa berhempas-pulas sebelum dapat mengesahkan tempat secara automatik di Piala Dunia Rusia 2018.

Beliau bagaimanapun percaya pasukannya layak mendapat keputusan itu selepas bekerja keras demi penyokong Les Bleus.

"Perjalanan kami sangat berliku untuk beraksi di Rusia. Malam ini (awal pagi semalam) juga kami terpaksa berhempas-pulas untuk mencapai kemenangan.

"Apa pun, kami berjaya mencapai sasaran kami dan saya sangat gembira kerana kami memang layak mendapat keputusan ini.

"Ini adalah hadiah untuk penyokong yang setia di belakang kami saat jatuh dan bangun," katanya.

Awal pagi semalam, Perancis sekadar menang tipis 2-1 ke atas Belarus di Stade de France, Paris hasil jaringan Antoine Griezmann dan Olivier Giroud.

Keputusan itu sekali gus memastikan tempat untuk Perancis di pentas Piala Dunia edisi ke-21 apabila seteru terdekatnya Sweden tewas 2-0 kepada Belanda di Johan Cruijff Arena, Amsterdam.