TEMERLOH - PRK Dun Sungai Kandis bakal memberikan tekanan yang kuat kepada Kerajaan Pakatan Harapan (Harapan).

Pesuruhjaya Pas Pahang, Rosli Abdul Jabar berkata, ia berikutan banyak janji manifesto PRU14 lalu belum terlaksana seterusnya membuka ruang kepada pembangkang sama ada Umno atau Pas mencipta kejutan pada 4 Ogos ini.

“Sudah lebih 60 hari kita lihat Pakatan Harapan masih gagal menunaikan janji termasuklah isu menurunkan harga minyak.

“Ini juga termasuk kononnya penghapusan cukai barang dan perkhidmatan (GST) akan menurunkan harga sebaliknya harga barang terus naik.

“Jadi ini antara perkara yang menjadi keluhan sebahagian besar rakyat yang akan memberikan tekanan yang sangat kuat kepada mereka (Harapan) sendiri,” katanya pada media di Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri 2018 Pejabat Perhubungan Pas Pahang, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pesuruhjaya Pas negeri, Andasura Rabu yang juga Adun Beserah,Adun Chenor, Mujibur Rahman Ishak dan Adun Luit, Mohd Sufian Abdul Jalil.

Dalam pada itu, Rosli memberitahu, Pas akan membawa kegagalan Harapan menunaikan janji manifesto mereka antara isu utama jika bertanding pada PRK tersebut.

“Antara isu dibawa ini adalah isu realistik yang semua rakyat boleh melihat janji Harapan yang ada masih tidak hilang lagi dalam ingatan rakyat dan mungkir janji sedang berlaku sekarang,” katanya.

Sementara itu, Pas Pahang juga mengikut keputusan Pas Pusat sama ada bertanding atau tidak di PRK tersebut selepas sebelum ini mengumumkan hanya akan bertanding sekiranya berlaku pertembungan satu lawan satu antara Harapan dan pembangkang.

SPR menetapkan 4 Ogos depan sebagai hari pengundian dan 21 Julai sebagai hari penamaan calon PRK Dun Sungai Kandis.

Kerusi tersebut kosong selepas penyandangnya, Mat Shuhaimi Shafiei meninggal dunia kerana kanser limfoma di Pusat Perubatan Subang Jaya pada 2 Julai lalu.