HELSINKI - FINLAND. Seorang usahawan di Amerika Syarikat (AS) menawarkan percutian di sebuah pulau di Finland yang dikhaskan untuk golongan wanita.

Pulau SuperShe berkeluasan 3.39 hektar yang dibina di kepulauan Helsinki yang bakal dibuka pada tahun ini turut melarang kemasukan pengunjung lelaki.  

Pembinaan oasis mewah yang memberi fokus kepada kesihatan dilengkapi 10 kabin itu adalah hasil cetusan idea bekas ketua pegawai eksekutif perundingan perniagaan, Kristina Roth selepas dia melihat pengunjung lelaki sebagai 'gangguan' kepada wanita.

"Bila ada lelaki kacak, wanita pasti akan berhias cantik. Jadi, pulau ini tidak akan mengganggu konsentrasi golongan wanita untuk bersantai.

"Ia bukan pulau antilelaki. Pada masa depan, kami tidak kisah untuk menerima pengunjung lelaki. Tetapi, buat masa ini, kami lebih utamakan wanita," jelasnya.

Pada asalnya, Roth membeli tanah di Turks dan Caicos untuk membina Pulau SuperShe, namun rancangan tersebut berubah selepas dia 'jatuh cinta' dengan keindahan Finland.

Pulau tersebut akan turut menyediakan kemudahan lain seperti sesi yoga dan kecergasan serta kelas memasak. - Daily Mail