PUTRAJAYA - Anggota perkhidmatan masjid turut menikmati bayaran khas Aidilfitri, sebanyak RM400 seperti yang diterima warga perkhidmatan awam Kerajaan Persekutuan.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, bayaran itu diberikan seperti diarahkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Oleh itu, Kementerian Kewangan dengan berbesar hati mengumumkan Bayaran Khas Aidilfitri 2018 berjumlah RM400 kepada kariah masjid, Guru Takmirdan Guru Kelas Asas Fardhu-Ain (Kafa),” katanya.

Guan Eng berkata seramai 66,258 individu dari seluruh negara yang terdiri daripada 12,500 imam, 8,650 bilal, 3,950 guru takmir, 8,394 Tok Siak/Norja/Merbot, serta 32,764 guru KAFA akan menerima bayaran khas RM400 ini.

“Kos keseluruhan bayaran ini adalah sebanyak RM26.5 juta yang telah disalurkan kepada Jakim dan dimasukkan terus ke dalam akaun individu yang berkenaan” katanya.

Guan Eng berkata pembayaran tersebut tidak termasuk dalam pembayaran Bantuan Sara Hidup Rakyat (BSHR – yang dahulunya dikenali sebagai BR1M) yang dibayar secara berasingan.

“Kerajaan Persekutuan juga telah menyalurkan RM1.6 billion kepada hampir 4.1 juta penerima BSHR bermula 6 Jun 2018.

Semoga pemberian insentif ini sedikit sebanyak

dapat membantu persediaan Hari Raya Aidilfitri oleh penerima di seluruh negara,” katanya.