Salam Syawal buat pembaca MIDI sekalian. Mengadakan rumah terbuka bukan lagi perkara baru dalam masyarakat hari ini. Berbekalkan bajet rendah, anda masih mampu menjemput teman-teman dan sanak-saudara meraikan syawal demi mengukuhkan ukhwah di kalangan keluarga. Biar bajet rendah, tetapi agenda rumah terbuka mesti meriah!

 

LAUK ALA KADAR

Mengadakan rumah terbuka bukanlah tugas yang mudah kerana banyak perkara penting perlu diambil kira agar majlis berjalan dengan lancar. Jumlah kos pastinya melibatkan bahan-bahan untuk hidangan kepada tetamu. Antara perkara yang merisaukan adalah kehabisan makanan atau tetamu tidak cukup makan. Namun, lebihan makanan juga satu kerisauan kerana pembaziran makanan boleh membuatkan anda membazir wang.

 

Dari segi makanan, pilih makanan yang semua orang boleh makan. Tidak perlu memperbanyakkan juadah hidangan tetapi memadai anda ada makanan seperti nasi putih atau nasi minyak, lauk pauk seperti ayam dan daging serta pencuci mulut. Jika anda mempunyai bajet lebih, anda boleh menyediakan makanan sampingan seperti sate, mi goreng, cendol dan makanan yang jimat belanja.

 

MASAK SENDIRI ATAU POT LUCK

Memasak sendiri lebih jimat berbanding anda mengambil khidmat katering. Jika anda tetap mahu menggunakan khidmat katering, cari katering yang mengenakan harga yang murah. Jika anda mahu rumah terbuka yang lebih meriah dengan hidangan yang banyak dan pelbagai, apa kata anda adakan sesi potluck sesama adik-beradik dan sanak saudara.

 

Untuk bilangan jemputan pula, anggaran yang dijemput tidaklah terlalu sedikit dan tidak terlalu ramai. Cukuplah di dalam lingkungan 50 sehingga 100 orang tetamu. Untuk bilangan yang ramai, pastikan anda menentukan masa yang sesuai supaya makanan tidak habis cepat dan mencukupi. Sebagai contoh, hadkan waktu dari jam 11 pagi sehingga empat petang.

 

PINJAM KEMUDAHAN

Ruang rumah yang kecil memerlukan anda menyediakan ruang dan tempat duduk yang selesa buat tetamu. Usah membeli kerusi plastik semata-mata untuk rumah terbuka ini kerana anda boleh meminjam kerusi dari balai raya atau persatuan jiran tetangga berdekatan. Biasanya, mereka mempunyai kelengkapan seperti kerusi dan meja jika ada sesuatu majlis.

 

Selain memastikan anda menyediakan pinggan dan cawan pakai buang yang boleh menjimatkan tenaga anda, sediakan juga makanan ringan untuk kanak-kanak seperti kacang dan kerepek. Diharap panduan ini sedikit sebanyak membantu anda yang mahu mengadakan rumah terbuka buat pertama kali.