PENDATANG baharu, Ryan Deedat terkejut apabila ada peminatnya menziarahi pusara arwah kakaknya.

Menurut penyanyi popular menerusi lagu Salimah, dia menerima sekeping foto itu menerusi laman sosialnya pada dua bulan lalu.

"Kali pertama ada peminat yang macam ni dan saya memang terkejut. Pada awalnya saya berasa hairan macam mana dia boleh cari.

"Kalau yang tahu hanya keluarga sahaja. Tapi, dia maklumkan kepada saya, adiknya juga telah meninggal dunia tahun lalu dan dikebumikan di tanah perkuburan yang sama.

"Rupanya saya pernah buat instastory atau post di Facebook fasal nama penuh kakak saya, Tengku Nur Intan Sheikira," katanya.

Ryan berharap jika selepas ini peminat berkenaan mahu menziarah boleh pergi bersamanya sekali.

"Saya hargai apa yang dia buat, cuma lain kali kalau nak pergi ziarah kubur kakak, boleh bawa saya," ujarnya kepada Sinar Harian.

Ditanya soal jodoh bersama peminat, pemuda ini tidak menolak jika ditakdirkan.

"Kalau ada jodoh bersama salah satu peminat apa salahnya, yang penting jadi diri sendiri dan perasaan cinta itu perlu datang dari hati yang ikhlas.

"Sebab melalui pengalaman lepas, rupa paras dan duit tidak menjanjikan kebahagiaan," katanya jujur.

Bercakap tentang kerjaya nyanyian, Ryan bakal mengeluarkan single kedua dalam jangka masa terdekat ini.

"Selepas single pertama mendapat sambutan yang memberangsangkan saya terus menghasilkan single kedua berjudul Propa.

"Nak tahu kenapa tajuk dia Propa, anda kena nantikan bulan Oktober depan. Saya boleh janjikan lagu terbaru ini lebih baik dari single pertama," akhirinya.