SHAH ALAM - Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menyambut baik gesaan kerajaan kepada syarikat telekomunikasi agar mengkaji pakej Internet lama supaya dapat dikurangkan harga.

Ketua aktivisnya, Datuk Nadzim Johan berkata Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) perlu memainkan peranan menyemak dan mengkaji servis yang diberikan syarikat telekomunikasi.

"Kita memang sokong seruan kerajaan ini tapi kita minta SKMM kaji tawaran-tawaran yang diberikan sebab ada yang menawarkan harga murah tapi servis boleh menangis kita dibuatnya.

"Dengan Internet lambat, talian putus-putus, bangunan baharu tak ada rangkaian, kawasan kampung susah dapat rangkaian. Ini semua menyusahkan pengguna," katanya kepada Sinar Harian.

Sebelum ini, Menteri Komunikasi dan Media, Gobind Sigh Deo menggesa syarikat telekomunikasi mengkaji semula pakej Internet lama yang ditawarkan kepada pelanggan supaya dapat dikurangkan harga.

Mengulas lanjut, Nadzim berkata pengguna juga perlu ambil peduli dan melaporkan kelemahan syarikat telekomunikasi bagi mengelakkan penipuan mahupun penganiayaan.