BERBAKI dua minggu sebelum kempen Liga Malaysia (Liga M) 2018 membuka tirainya, pasukan Terengganu FC I (TFC I)  terpaksa mengetepikan khidmat awang import baharunya, Kim Hyeon-woo apabila pemain kelahiran Korea Selatan itu masih dibelenggu masalah kecederaan.

Pengendalinya,  Irfan Bakti Abu Salim  berkata, khidmat pemain berusia 29 tahun itu terpaksa dilupakan akibat kecederaan lutut yang serius ketika perlawanan kedua siri jelajah Kemboja menentang Army FC, dua minggu lalu.

Menurutnya,  disebabkan kecederaan itu,  Hyeon-woo  perlu berehat selama empat hingga enam bulan sekaligus memaksa pihaknya mencari pengganti dari kuota Asia dalam masa terdekat.

“Justeru pihak pengurusan  akan bertemu dengan dia (Hyun-woo) dan ejennya serta pihak pengurusan untuk perbincangan lebih lanjut dalam menentukan langkah terbaik.

“Jadi kita akan berusaha untuk mengikat pemain import lain dalam tempoh pendaftaran pemain yang masih dibuka sehingga 11 Februari nanti, bagaimanapun calonnya kita masih belum ada dan apa yang pasti pemain baharu itu nanti adalah dari Asia dan seorang penyerang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyaksikan skuad kendaliannya itu muncul selaku juara kejohanan bola sepak empat penjuru Piala Menteri Besar Terengganu, malam tadi.

Pada  kejohanan edisi sulung yang turut disertai Pahang dan Melaka United itu, TFC I  muncul juara selepas menundukkan TFC II, 4-2  sekali gus menggondol hadiah wang tunai RM50,000.

Mengulas kejayaan itu,  Irfan mengakui  masih banyak lagi yang perlu diperkemas termasuk ketika berdepan serangan pasukan lawan.

“Bagaimanapun saya lihat keserasian pemain import dan tempatan semakin baik selain mula menunjukkan keserasian bersama pasukan.

“Malah, pemain juga telah menunjukkan persaingan sihat dalam kalangan mereka sepanjang kejohanan ini berlangsung untuk merebut kesebelasan utama pasukan dan kita hanya  akan tentukan barisan utama pasukan berdasarkan prestasi terbaik mereka,” katanya.