Soalan:

Anak saya berumur empat bulan dan suka tidur di dalam buai. Adakah benar tidur dalam buai tidak bagus untuk perkembangan otak si kecil? Untuk pengetahuan, dia sebenarnya susah untuk tidur walaupun berada di dalam buai. Hampir sejam di dalamnya, barulah dia dapat tidur lena. Mohon pandangan tentang penggunaan buaian bayi.

 

Jawapan:

Tiada salahnya menggunakan buaian untuk menidurkan bayi. Namun begitu, janganlah dihayun dengan kuat pula. Hal ini boleh menyebabkan otak bergegar. Malah, jangan dibiarkan kanak-kanak kecil yang menghayun buaian kerana golongan ini akan sewenang-wenangnya menghayun buaian selaju-lajunya.

Oleh yang demikian, pemerhatian dan jagaan yang teliti amat perlu jika anda mahu menidurkan bayi di dalam buaian. Pada pandangan peribadi saya, sebenarnya kecederaan bayi tidur dalam buaian lebih banyak disebabkan oleh kemalangan atau kecuaian menggunakan buaian itu dan bukannya penyebab utama otak bergegar.

Ini kerana kadangkala spring tidak berfungsi, putus atau besi patah dan menimpa bayi. Apabila hal sebegini  berlaku, maka buaian akan jatuh dan menghempap bayi. Malahan, bayi juga akan jatuh dan sudah tentu kepalanya akan terhentak ke bawah.

Selain daripada itu, bayi yang lincah dan aktif suka meniarap dan bergerak-gerak di dalam buaian. Ini akan meyumbang kepada pelbagai kemungkinan seperti terjatuh, spring patah dan sebagainya. Oleh itu, pastikan anda menggunakan buaian yang berkualiti serta membuat pemantauan rapi semasa bayi tidur di dalamnya.

Dalam memastikan bayi dapat lena di dalamnya, dinasihatkan agar bayi diberi susu secukupnya. Apabila dia kenyang, jadi dia mudah tidur dengan tenang.