PENOLONG jurulatih Kelantan, Yusri Che Lah terus mempertahankan corak permainan dan taktikal yang diterapkan Fajer Ibrahim pada perlawanan menentang Kuala Lumpur malam tadi yang berkesudahan dengan kekalahan 1-5.

Kekalahan terbaharu ini meletakkan Kelantan di kedudukan kedua tercorot liga dan berada dalam zon penyingkiran Liga Premier 2019 selepas hanya mengutip lapan mata dua kemenangan, dua seri serta  tujuh kekalahan selepas 11 perlawanan

Jelas Yusri, bosnya itu (Fajer) telah memberikan pendedahan dan pengalaman baharu kepada pemain Kelantan dan juga bola sepak negara.

“Ini adalah cara terbaik dalam bola sepak, apa yang boleh saya katakan Fajer telah melakukan perkara yang baik untuk bola sepak negara dengan konsep ‘modern football’.

“Terus terang saya katakan pemain bola sepak di Malaysia hari ini terlalu manja dan sukar untuk bermain dengan jurulatih yang tegas dan memiliki karakter tersendiri.

“Fajer adalah jurulatih terbaik di Malaysia yang saya pernah berkerja, kami masih memiliki peluang untuk terus memberikan saingan dan saya menyokong usaha dilakukannya,” katanya yang percaya Fajer tidak akan meletakan jawatan susulan kekalahan terbaharu ini.

Mengulas perlawanan menentang Kuala Lumpur, Yusri menyifatkan kekalahan diraih pasukannya ketika berdepan dengan Kuala Lumpur kelmarin berpunca dari kegagalan pemain beraksi dengan kemampuan sebenar.

Mengakui kehebatan pasukan lawan yang pernah ditewaskan 4-2 pada peringkat pertama di Kota Bharu sebelum ini, Yusri melihat anak didiknya gagal memberikan tumpuan sepenuhnya selain kerapuhan benteng pertahanan.

“Pemain tidak beraksi dengan kemampuan sebenar dan mengikut perancangan yang telah digariskan, saya kena berlaku jujur jika rentak sempama ini dipamerkan pemain dalam perlawanan seterusnya tidak mustahil Kelantan akan beraksi di Liga Premier musim depan.

“Buat masa ini fokus kami ialah untuk memastikan Kelantan terus kekal dalam saingan Liga Super,” jelasnya pada sidang media mewakili Ketua Jurulatih Kelantan, Fajer Ibrahim selepas perlawanan.