Jualan Gudang Karangkraf kembali, lebih banyak hadiah menarik

0
116
Jualan Gudang Karangkraf

SHAH ALAM – Jualan Gudang Karangkraf 2022 kini kembali dengan menawarkan pelbagai jenis bahan bacaan dengan harga bermula serendah RM1.

Ketua Pegawai Eksekutif Grup Buku Karangkraf, Firdaus Hussamuddin berkata, program yang bakal menjadi ‘syurga’ kepada peminat buku tempatan itu turut menawarkan diskaun sehingga 80 peratus.

“Jualan gudang yang akan berlangsung pada 26 Ogos hingga 4 September ini di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf di Seksyen 15, Shah Alam merupakan kali kedua dianjurkan pada tahun ini, menampilkan banyak kelainan berbanding penganjuran sebelum ini.

“Kita akan bawakan penulis buku dan personaliti televisyen untuk bersama-sama memeriahkan program ini dan sudah pasti pengunjung berpeluang bertemu dan beramah mesra dengan mereka.

“Program selama 10 hari ini akan berlangsung setiap hari bermula pukul 9 pagi hingga 7 malam dan pengunjung juga turut berpeluang menyertai pelbagai aktiviti menarik antaranya pencarian buku (book hunt), pertandingan mewarna kepada kanak-kanak selain berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah berupa barangan IKEA bernilai sehingga RM500 dengan minimum pembelian RM100 dalam satu resit,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Dalam pada itu Firdaus memberi jaminan kemudahan yang disediakan di bangunan berkenaan lengkap bagi memastikan keselesaan pengunjung yang datang.

“Ruang pameran yang berhawa dingin memberi keselesaan kepada pengunjung yang hadir bersama keluarga atau rakan-rakan, malah ruang parkir kereta juga disediakan bagi memudahkan pengunjung.

“Selain itu pengunjung tidak perlu risau kerana di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf ada surau yang luas dan selesa untuk digunakan untuk beribadah” katanya.