AGENSI pelaporan kredit terbesar Malaysia, CTOS Data Systems Sdn Bhd (CTOS), menjalin kerjasama dengan LenddoEFL bagi memperluaskan perangkuman kewangan pengguna Malaysia yang kurang atau tidak mempunyai sejarah kredit melalui ‘CTOS Non-Traditional Data Score’.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CTOS Holdings Sdn Bhd, Dennis Martin berkata, walaupun markah kredit ramalan tentang tingkah laku pembayaran telah meningkat tahun demi tahun, namun sekumpulan besar peminjam yang berpotensi baik ketika ini dinafikan akses kepada kredit disebabkan kurangnya sejarah kredit.

“Disebabkan pemberian pinjaman pengguna lazimnya bergantung kepada skor kredit, individu ini mendapati diri mereka terpinggir daripada ekosistem kredit dan juga sukar menambah baik markah kredit mereka.

“Dengan memanfaatkan sepenuhnya data tingkah laku dan data digital yang diizinkan penggunaannya oleh pengguna, CTOS dan  LenddoEFL akan melancarkan platform keputusan kredit universal yang mampu menaksir kebolehpercayaan kredit mana-mana rakyat Malaysia, baik yang ada sejarah kredit mahupun kurang sejarah kredit,” katanya dalam kenyataan media.

Menurut Dennis, kini banyak individu yang dahulunya kurang dilayan oleh institusi kredit atas alasan risiko kredit tradisional mereka, akan menikmati peluang untuk akses kredit.

Dengan ledakan bilangan telefon pintar dan peningkatan akses kepada internet, set data alternatif ini mempunyai liputan yang lebih luas dan lebih bersifat terkini, berbanding data tradisional yang sedia ada pada masa ini.

Algoritma belajar mesin dan kecerdasan buatan LenddoEFL memproses maklumat itu sekali pada masa nyata.

Apabila digabungkan dengan polisi penaksiran risiko tradisional, pihak pemberi pinjaman boleh membuat pembezaan yang tepat antara pengguna ‘Non-Traditional Data’ yang sekadar berlegar-legar di luar radar kredit, mungkin disebabkan kurangnya sejarah cagaran atau kredit, dengan pihak-pihak lain yang merupakan risiko kredit sebenar.

“Pelanggan CTOS yang mempunyai sejarah kredit sedia ada juga mendapat manfaat daripada pelaksanaan teknologi keputusan kredit ini kerana penentuan harga dan pemotongan adalah dipengaruhi oleh perangkuman data alternatif.

Kedua-dua peneraju teknologi kewangan ini telah membantu bank, institusi pemberi pinjaman, syarikat utiliti dan syarikat kad kredit untuk mengurangkan risiko, meningkatkan saiz portfolio, memperbaiki perkhidmatan pelanggan dan menentu sahkan pemohon dengan tepat.