PEMBEKAL sistem Perlindungan Kebocoran Data (DLP) terkemuka, InfoWatch, mengesan kebocoran data boleh dibendung awal dan boleh diramal sekali gus dicegah.

InfoWatch menawarkan perkhidmatan mengautomasi perlindungan terhadap ancaman dalaman dan pada masa sama menjaga aspek teknikal serta undang-undang yang mana perkhidmatan itu mengurangkan risiko operasi, reputasi, kewangan dan undang-undang.

Perkhidmatan InfoWatch menumpukan kepada perniagaan dan dilengkapi teknologi serta inovasi terbaharu merangkumi forensik bagi menghasilkan persekitaran lebih selamat.

InfoWath dalam satu kenyataan berkata, pihaknya akan menganjurkan webinar mengenai perlindungan data kritikal dalam sektor kewangan pada 12 Ogos ini yang dikendalikan Pengarah Pembangunan Perniagaan InfoWatch, Andrey Sokurenko.

Menurut InfoWatch kebocoran data kritikal, penipuan dalam talian, penjejasan reputasi dan kecurian melalui sistem informasi hanya memerlukan beberapa klik sahaja dan sesebuah organisasi boleh menjadi mangsa.

Bagi institusi kewangan, anggaran kerugian bagi setiap kes maklumat kad kredit pelanggan yang terdedah adalah kira-kira AS$2,000 manakala tahun lalu, industri kewangan rugi hampir AS$8 billion akibat kebocoran data.

“Masalah kebocoran data kritikal di sektor kewangan adalah berleluasa dan kerap tidak dilaporkan bagi mengelakkan akibat yang serius.

"InfoWatch memahami masalah ini dan menawarkan sistem perlindungan kebocoran data khusus melindungi organisasi kewangan daripada kehilangan maklumat.

Format webinar ini menjanjikan tahap kerahsiaan yang lebih tinggi agar soalan-soalan mendesak boleh ditanya dan dijawab secara yang lebih selamat dan sulit,” kata Andrey menerusi kenyataan itu.