SUBANG JAYA - Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) akan menaikkan kadar kompaun dan caj tundaan kenderaan dari RM 132.00 kepada RM 260.00 untuk semua kenderaan yang didapati melanggar peraturan lalu lintas di pentadbiran MPSJ, berkuatkuasa 2 Januari 2019.

Timbalan Pengarah Jabatan Korporat Dan Pengurusan Strategik, Azfarizal Abdul Rashid berkata, keputusan menaikkan kadar kompaun dan tundaan kenderaan itu telah diluluskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kewangan dan Mesyuarat MPSJ Bil pada 25 Oktober 2018 lalu.

"Pelaksanaan kenaikan kadar bayaran kompaun dan kos tundaan kenderaan ini bertujuan membentuk serta mendisiplinkan masyarakat untuk lebih mematuhi peraturan dan undang-undang majlis sekaligus ianya dapat mengurangkan permasalahan halangan lalu lintas di pentadbiran MPSJ.

"Pemilik kenderaan yang ditunda juga perlu menjelaskan bayaran kompaun yang tertunggak (jika ada) sebelum kenderaan dilepaskan," katanya menerusi kenyataan media.

Sehubungan itu, menurutnya pihak MPSJ menyeru orang awam yang hadir ke kawasan pentadbiran MPSJ untuk mematuhi peraturan lalu lintas yang telah ditetapkan dan meletakkan kenderaan di dalam petak letak kenderaan bagi mengelakkan tindakan penguatkuasaan dikenakan.

"Untuk makluman juga, sepanjang tahun 2018 (sehingga November 2018), pihak MPSJ telah mengeluarkan sebanyak 6462 Notis Tawaran Kompaun serta tindakan tundaan kenderaan kepada pesalah lalu lintas di pentadbiran MPSJ," katanya.