KUALA TERENGGANU - Gara-gara gagal memberi penjelasan memuaskan berhubung enjin motosikal yang dimiliki ketika ditahan polis, seorang nelayan didenda RM1,000 oleh mahkamah majistret, di sini, semalam.

Azrul Ashraf Husin, 40, turut berdepan hukuman penjara sebulan jika gagal menjelaskan denda.

Bagaimanapun, dia akhirnya dipenjara selepas gagal menjelaskan denda yang dikenakan.

Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi membuat keputusan itu selepas Azrul Ashraf mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan Kecil 1955 (memiliki secara haram).

Dia mengaku salah memiliki sebuah enjin motosikal yang sudah diganggu dan gagal mengemukakan penjelasan bagaimana memperoleh enjin itu ketika ditahan.

Dia mengaku melakukan kesalahan itu di depan sebuah rumah di Kampung Gong Kuin 1, Jalan Tok Jembal, di sini, jam 12.20 tengah hari, pada 5 Februari lalu.

Berdasarkan fakta kes, sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu menahan sebuah motosikal dinaiki seorang lelaki yang membawa dua guni putih di depan rumah di Kampung Gong Kuin 1, Jalan Tok Jembal, di sini.

Pemeriksaan menemui enjin motosikal sebelum pemeriksaan seterusnya mendapati nombor enjin berkenaan tidak dapat dibaca kerana sudah diganggu.

Azrul Ashraf kemudian ditahan kerana gagal memberi keterangan mengenai pemilikan enjin motosikal berkenaan.