KUALA LUMPUR - Rimbunan pokok menyelamatkan seorang warga emas daripada terhumban ke loji kumbahan di AU3 jam 12 tengahari tadi.

Insiden itu ditularkan orang awam yang berada di lokasi kejadian menunjukkan mangsa terbaring dalam keadaan kepala berdarah, tembok konkrit runtuh dan keadaan kereta mangsa tersangkut pada pokok kolam kumbahan itu.

Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Keramat, Abdul Majid Ahmad berkata, bilik gerakan menerima panggilan kecemasan jam 12.09 tengahari dan tiba di lokasi jam 12.20 tengahari.

Menurutnya, seramai enam anggota ke lokasi setelah menerima panggilan orang awam berhubung kejadian tersebut.

"Warga emas berusia 60-an itu telah dikeluarkan orang awam ketika bantuan BBP Keramat tiba dan mangsa kemudian dihantar untuk rawatan lanjut di Hospital Kuala Lumpur.

"Dipercayai mangsa dari rumahnya kondominium Sri Maya kira-kira tiga kilometer dari lokasi kejadian untuk ke masjid," katanya.

Punca kejadian masih disiasat.