JERANTUT - Seramai 30 peserta yang menyertai Kembara Dakwah Pertubuhan Kebajikan Dakwah Sekolah (Pekdis) Johor tidak menyangka mereka bukan mampu menyebarkan ilmu dan nilai murni, tetapi turut menjadi tempat luahan perasaan penduduk Orang Asli.

"Orang luar mungkin seronok menaiki bot dan pacuan empat roda untuk ke kampung kami, tapi kami amat sengsara tinggal di sini."

Demikian luahan penduduk Orang Asli yang membuatkan peserta yang terdiri daripada pegawai Jabatan Pendidikan negeri Johor, pegawai Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, pegawai Pejabat Pendidikan Daerah Kulai dan guru-guru Pendidikan Islam Negeri Johor terkejut.

Peserta kembara dakwah dan penduduk setempat bergotong royong melapah dan memotong daging kerbau untuk jamuan meraikan penduduk

Ramai yang menyangka Orang Asli tolak pembangunan dan suka dengan kehidupan mereka di tengah belantara dan kawasan pedalaman namun hakikatnya tidak sebegitu.

Ketua Kembara Dakwah, Rozaiherman Md Aros berkata, pihaknya sangat terharu mendengar luahan penduduk Orang Asli itu.

"Saya sangat terharu apabila ada antara penduduk kampung yang mengadu sukarnya mereka untuk ke seberang dan mahukan kemudahan jambatan.

Peserta perempuan yang menaiki bot menyeberangi Sungai Tembeling

“Tambah mereka lagi, orang luar mungkin seronok menaiki bot dan pacuan empat roda untuk ke kampung mereka, tetapi hakikatnya mereka sengsara tinggal di sana,” katanya.

Program dakwah anjuran Pekdis Kulai, dengan kerjasama PEKDIS Johor, PEKDIS Pahang dan Majlis Ugama Islam dan Adat Melayu Pahang ini berlangsung selama tiga hari bermula 21 Mac lalu.

Rozaiherman berkata, program lebih tertumpu kepada beberapa kampung Orang Asli di Jerantut, antaranya Kampung Bantal, Kampung Orang Asal Sungai Kucing, Kampung Mat Daling, Kampung Gusai dan Kampung Kuala Sat.

Peserta kembara dakwah menjalankan aktiviti ziarah mahabbah ke rumah-rumah penduduk kampung

Program yang dirasmikan oleh Pegawai Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, Wan Mohd Asri Wan Abdullah itu bertujuan untuk menyampaikan dakwah, di samping menyantuni penduduk kawasan pedalaman, menerusi penyampaian tazkirah dan akhlak baik yang ditunjukkan oleh peserta.

Rozaiherman berkata, antara pengisian sepanjang program adalah dakwah kepada semua penduduk kampung pedalaman, sumbangan pakaian, wang dan makanan, menghidupkan masjid dengan majlis ilmu, gotong-royong, menyembelih kerbau dan menjamu makanan kepada penduduk setempat serta sukaneka bersama penduduk kampung.

"Program ini bukan sahaja dapat mengeratkan silaturrahim bersama penduduk Orang Asli, bahkan merasai sama susah payah guru yang bertugas di pedalaman.

“Program ini turut membuka peluang kepada peserta mendekati penduduk pendalaman, selain dakwah kepada mereka yang dahagakan ilmu agama,” katanya kepada GPS Bestari.com.