HARI ini mahu tak mahu kita semakin bergantung pada telefon pintar. Ibarat menangguk di air keruh, penjahat atau lebih tepat pencuri cuba mengambil kesempatan menggunakan platform ini.

Sudah semestinya kita tidak boleh mengabaikan panggilan masuk daripada orang yang kita tidak kenali dan berharap perbuatan keji ini akan berakhir.

Memetik pesanan Pengerusi i Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CFM), Mohamad Yusrizal Yusoff baru-baru ini, beliau mengingatkan orang ramai untuk mengelak daripada terjerat dengan sindiket penipuan scam.

Menurutnya, dalam beberapa bulan kebelakangan ini, terdapat peningkatan ketara bagi jumlah rungutan dan aduan daripada pengguna mudah alih mengenai spam dan panggilan palsu diterima mereka.

Saranan ini susulan pendedahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 24 Oktober lalu bahawa kes penipuan seperti itu telah melibatkan kerugian sebanyak RM113.11 juta sejak tahun lalu.

Malah, berdasarkan statistik itu, jumlah kes untuk 10 bulan pertama pada tahun ini meningkat berbanding tempoh keseluruhan pada tahun lalu.

Kes penipuan menerusi panggilan dan SMS sehingga Oktober 2017 berjumlah 3,069 kes, bertambah 112 peratus berbanding tahun lalu sebanyak 1,461 kes.

Kebiasaan sebelum ini modus operandi digunakan penjenayah menyamar sebagai pihak bank atau pihak berkuasa dan meminta 'bertindak ikut arahan' menjadikan kita mangsa ‘sembelihan’ sindiket penipuan untuk mendapatkan wang.

Ironinya, penjahat digital ini lebih bertindak berani tidak hanya menyasarkan mereka berduit atau golongan mudah terpedaya, malahan badan bukan kerajaan (NGO) yang membuat kerja kebajikan!

Sudahlah NGO dikelolakan terpaksa bersusah payah mencari sumbangan untuk membantu golongan memerlukan, lebih malang mereka pula yang diperdaya untuk menyerahkan wang.

 

Modus operandi sama

Menggunakan taktik menagih simpati dan desakan halus, antara mangsa terbaharu penjahat digital atau scammer ini ialah NGO, Merci Chefs Malaysia.

Pengasasnya, Cef Abdul Aziz Juhari tidak menafikan, banyak NGO sudah termakan umpan dikenakan scammer berkenaan.

“Dia WhatsApp dan buat panggilan telefon, bunyi suara perempuan, mengaku Dr Siti Hawa (bukan nama sebenar). Bagi salam perkenalkan diri, cakap dah bank in duit RM500, tapi kononnya ter’bank in’ duit dua kali. Slip bank pula dipalsukan.

“Masa tu tak tahu lagi, jadi rasa kesian,  tak fikir dalam keadaan sibuk persiapan ke misi kemanusiaan, dia beritahu dah terlebih masukkan duit, jadi kita pun pulangkan. Padahal dua-dua tak ada, bank in tak ada, yang ekstra pun tak ada,” jelasnya.

Menurut Aziz, tidak cukup setakat itu scammer itu masih licik menagih simpati dengan cerita sedih kononnya, bapanya pula meninggal, selepas itu mahu meminjam pula duit yang didermakan.

Katanya, penjahat bijak mengambil kesempatan peluang ada dalam kesibukan dan di waktu NGO tidak boleh menyemak akaun secara atas talian untuk membuat gesaan.  

Juga didekati dengan modus operandi sama, Presiden Kindness Malaysia, Muhammad Kamarulazizi menyifatkan ia penipuan cuba dilakukan penjenayah siber yang juga scammer.

Menggunakan medium WhatsApp, Madrasah Hashimiah kelolaan pihaknya juga menerima mesej sama mengatakan telah tersilap sumbang dua kali sebanyak RM1,000.

“Bijaknya dia, jam 11 lebih waktu malam dia minta untuk pulangkan kembali RM1,000 itu.

“Esoknya saya cuba periksa dalam akaun, langsung tiada transaksi RM1,000 sebanyak dua kali. Dan bila saya cuba memeriksa nombor tersebut, nama scammer yang keluar,” katanya

Muhammad yakin itu percubaan untuk menipu pihaknya, malah percaya scammer menggunakan gambar profil orang lain untuk tujuan tersebut.     

 

Ambil kesempatan atas kebaikan                

“Kita sentiasa dikelilingi oleh manusia, donor dan sukarelawan yang baik, tapi makhluk scammer ini akan datang juga ‘menepek’ untuk cari peluang ada. Maka berhati-hatilah kawan-kawan semua.”

Itu pesan Muhammad kepada rakan-rakan NGO yang turut berharap agar masyarakat tidak lupa turut mendoakan agar scammer mengambil kesempatan menggunakan gelaran orang dihormati seperti ‘doktor’ dan sebagainya insaf atas perbuatannya.

“Geram pun ada. Kepada rakan-rakan rumah kebajikan, madrasah dan juga NGO, silalah berhati-hati supaya tidak menjadi mangsa scammer ini.

“Mohon kongsikan perkara ini kepada yang lain agar tidak tertipu dengan modus operandi sebegini,” katanya.

Menjadi mangsa kepada scammer yang menggunakan fotonya untuk menjalankan kegiatan tidak bermoral ini, pengamal perubatan hospital swasta, Dr Nor Aniza Ali pula berkata, beliau sudah membuat laporan polis dan kepada pihak Suruhanjaya Komunikasi Multimedia (SKMM).

Menurutnya, gambarnya dalam salah satu poster kempen kesihatan di media sosial telah diedit dan disalah guna oleh scammer mengguna nama Dr Siti atau Dr Hawa.

“Memang ia bertujuan memperdayakan orang awam dalam perbualan mesej WhatsApp. Scammer menggunakan nombor tertentu dan memberitahu kononnya bertugas di Hospital Ipoh atau mengendali spa kecantikan di Taman Seri Tambun.

“Scammer menyasarkan pengusaha atas talian, pengendali tabung kebajikan, madrasah dan rumah anak yatim dengan modus operandi menipu wang orang awam,” kata doktor dari Bukit Beruntung, Rawang, ini.

Menurutnya, lebih dikesalkan tindakan scammer mencuri identiti orang lain telah mengakibatkan persepsi buruk terhadap profesion seorang doktor sebagai penipu di media sosial.

Dr Aniza berkata, setelah diperiksa, sudah ada beberapa laporan polis atas kes nombor telefon sama dikenal pasti, justeru beliau menasihati orang awam berhati-hati dengan penipuan scammer begini.

 

Balasan besar

Presiden Persatuan Mata Hati Malaysia (MHM), Datuk Ab Rahim Md Noor pula berkata, pihaknya yang sering menyedarkan masyarakat lebih prihatin isu-isu boleh menimbulkan kesukaran dan jenayah, juga kesal kegiatan berleluasa scammer termasuk mengambil kesempatan terhadap NGO.  

Jika sebelum ini fokus pihaknya terhadap alam sekitar, kemudian berkaitan keselamatan jalan raya, namun kini memberi tumpuan isu-isu jenayah termasuk penipuan.

“Kecurian ini pun satu bentuk jenayah. Kita harap dapat menyedarkan masyarakat bahawa perlu ingat, jika kita menipu orang, tidak mustahil mereka juga akan terkena balik, jika tidak pada diri, anak cucu dan sebagainya.

“Hukuman itu akan berlaku, itu di dunia, balasan lebih besar menanti di sana. Contoh dia mencuri, jadi scammer, di akhirat  nanti nak jawab macam mana, boleh dia pulang balik semua diambil? Orang Islam terutamanya, benda-benda begini kena jaga,” katanya.

Menurutnya, apa berlaku juga disebabkan kurangnya pendidikan terhadap masyarakat tentang hak orang lain, sama seperti isu-isu rasuah.    

Ab Rahim berkata, etika berkenaan perlu ditunjuk ajar dengan baik, bukan saja melibatkan orang Islam, malah percaya semua agama tidak mengajar mahupun membenarkannya berlaku.

“Ini salah satu usaha MHM uar-uarkan dalam agenda kami supaya tak lakukan sesuatu yang jejaskan orang lain. Lihat dengan mata hati ini kena ada belas kasihan. Ini harus ditanamkan dalam masyarakat kita.

“Sekarang tak hanya fizikal, dalam maya pun boleh buat jenayah, penipuan internet. Harus mula gerakan nasional, kolaborasi antara NGO tertentu yang boleh main peranan seperti persatuan Islam, banyak aktiviti perlu diselaraskan antara NGO,” katanya.

Menurutnya, NGO-NGO juga boleh memainkan peranan khusus menyampaikan kesedaran melalui mesej-mesej, menularkan isu berkaitan supaya dapat menusuk hati. -AG