BUKIT JELUTONG - Seramai 11 pelatih di kalangan orang kelainan upaya (OKU) diraikan dalam Majlis Graduasi dan Anugerah Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti Saujana Utama (PPDKSU), baru-baru ini.

Pengerusi PPDKSU, Nor Hasnizam Parman berkata, selain 11 pelatih yang menerima sijil graduasi, empat peserta juga turut menerima anugerah kerjaya (Job Coach) dalam majlis berkenaan.

"Penganjuran ini bertujuan untuk memberikan pengiktirafan dan meraikan kejayaan anak-anak atau pelatih yang telah berjaya melayakkan diri mengikuti pendidikan formal di Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) sekolah rendah berdekatan seperti di SK Saujana Utama, SK Seri Pristana dan SK Puncak Alam.

"Program Pemulihan Dalam Komuniti atau Community-Based Rehabilitation  adalah satu alternatif kepada pemulihan dalam institusi. Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berperanan menyalurkan geran tahunan dan mengawal selia perjalanan Program PDK.

"PDK dibuka untuk semua jenis ketidakupayaan dan semua peringkat umur. PPDKSU telah membuktikan kepada masyarakat bahawa pelatih yang dihantar ke PDK mampu menempatkan diri ke alam persekolahan dan pembelajaran formal di di sekolah rendah," katanya.

Hadir sama, Adun Paya Jaras yang juga Penaung PPDKSU, Mohd Khairuddin Othman yang merasmikan program serta menyampaikan anugerah kepada pelatih.

Selain itu, Nor Hasnizam berkata, PPDKSU juga telah berjaya  melaksanakan program job coach di sektor pekerjaan yang berhampiran dan antara sektor pekerjaan yang sudi mengambil pelatih PPDKSU bekerja ialah Mc Donald's Puncak Alam, KFC Bandar Seri Coaldfields, Ayam Mas Saujana Utama, Pasaraya Segi Saujana Utama, restoran dan kedai buku.

"PPDKSU juga berjaya menempatkan pelatih dewasa bekerja di sektor pekerjaan melalui Program Job Coach.

"Semenjak penubuhan PDKSU tahun 2012 setiap tahun pelatih kanak-kanak dapat ditemptkan ke PPKI sekolah rendah berhampiran.

"Ini adalah hasil usaha gigih penyelia dan petugas memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada pelatih," katanya.

Katanya lagi, Ahli Jawatankuasa PDK yang dilantik pula memastikan pengoperasian PDK mengikut garis panduan yang disediakan oleh JKM dan kualiti kerja menjadi keutamaan dalam memberikan perkhidmatan.