PENGELUAR jenama hijab dan pakaian Muslimah, Sofearose mengambil inisiatif mengadakan sebuah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) sebagai sokongan terhadap kempen Pinktober yang dinamakan 'The Strongest Pink', sempena Bulan Kesedaran Kanser Payudara Sedunia yang disambut pada Oktober setiap tahun.

Kempen selama sebulan bermula 6 Oktober hingga 6 November itu turut disokong rapat oleh Majlis Kanser Nasional (Makna), sebagai rakan badan bukan kerajaan (NGO) yang bergiat aktif dalam memperjuangkan pesakit kanser.

Kerjasama ini juga bertujuan mengadakan kutipan dana untuk disalurkan kepada tabung Makna melalui jualan set hijab eksklusif Clara Luxe bernilai RM120 setiap satu di mana sebahagian daripada hasil jualan akan disalurkan kepada tabung NGO tersebut.

Ketua Pengarah Urusan Sofearose, Muhammad Zaki Yusof berkata, inisiatif melancarkan kempen itu timbul selepas melihat statistik penderita barah payudara semakin membimbangkan saban tahun selain mendukung tanggungjawab yang amat berat dalam menjadi salah satu medium menyampaikan mesej kepada setiap masyarakat peri pentingnya mendapat kesedaran mengenai pencegahan kanser payudara dan pentingnya sokongan masyarakat kepada pesakit kanser ini.

“Saya sendiri mempunyai kakak yang baru diisytihar bebas dari kanser payudara tahap empat. Saya faham betapa mereka memerlukan komuniti untuk memberi sokongan moral kepada mereka," katanya pada majlis perasmian kempen itu baru-baru ini.

Pada acara tersebut, turut menampilkan seorang pejuang kanser payudara tahap empat, Wan Musfirah Aimi Wan Supian, 34, mewakili Breast Cancer Foundation yang berkongsi mengenai kanser dihadapinya.