Namanya mungkin tidak segah pelakon-pelakon lain. Namun begitu, kini hampir lima tahun nama Adiba Yunus berada di dalam industri. Terbaru, filem lakonannya, 'Nasi Tangas' tersenarai dalam kategori 'Filem Terbaik' di Anugerah Skrin 2015.

Berkesempatan menemubual pelakon berusia 27 tahun ini, kami bertanya mengenai mengenai dirinya yang masih kurang dikenali di kalangan peminat industri lakon layar tanah air.

"Saya sebenarnya banyak juga berlakon filem sebelum ini. Kalau drama, ada juga tetapi kebanyakannya, watak-watak pembantu. Ya, saya akui, nama saya kurang dikenali berbanding pelakon lain.

Baca: "Gandingan Bersama Kajol Seperti Mimpi" - Raja Ilya

"Mungkin drama lakonan saya, tidak ditayangkan di slot yang ramai penonton seperti Akasia contohnya. Mungkin peluang saya belum tiba," ucapnya ketika ditemui di siri kedua Jelajah Anugerah Skrin 2015 di Johor Bahru.

Adiba juga menerima, sekiranya dia dianggap ketinggalan dan bergelar perlahan di dalam perjalanan karier lakonannya.

"Bagi saya, biarlah saya sedikit perlahan. Bak kata pepatah, 'bersusah dahulu, bersenang kemudian'. Saya ingin dikenali menerusi bakat. Walaupun klise, saya selesa dengan prinsip ini," tambahnya lagi yang tidak mahu naik terlalu pantas, dan hilang dengan pantas dalam industri.

Baca: Fazreen Rafi Sudah Ada Nama Anak Ketiga

Dia juga tidak menafikan, dirinya yang tidak terpalit dengan sebarang kontroversi mungkin menjadi salah satu penyebab namanya kurang dikenali.

"Saya tidak nafikan, kontroversi kadang kala membuatkan seseorang artis dikenali. Tetapi, saya tidaklah meminta kontroversi itu datang kepada saya. Kalau ada pun, biarlah yang tidak mengaibkan," tambahnya lagi.

Apa pun, lakonan pelakon baru ini memang patut diberikan pujian. Wataknya dalam filem 'Nasi Tangas' sememangnya mencuri tumpuan penonton dan membuatkan setiap mata yang menonton, tidak senang duduk.