Radhi memang suka makan, bukan setakat suka tetapi tahu menilai keenakan setiap masakan. Sebab itu pelakon, pelawak dan personaliti TV ini mengambil keputusan masak sendiri.
 
 
Anak kelahiran Pulau Pinang, berketurunan Pakistan-Arab dan penerima anugerah Pembantu Terbaik Festival Filem Malaysia (FFM) ke18 ini, menyukai capati dan kari kurang pedas.
 
 
Radhi yang merupakan Timbalan Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) sedang sibuk menguruskan Golf Amal Selebriti antara Karyawan dan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb). 
 
 
Selain itu dia juga menjadi pensyarah separuh masa Kolej Intec, Shah, Alam, mengajar teater, lakonan dan seni. Radhi turut berperanan sebagai penerbit filem dan drama di bawah syarikat miliknya iaitu Radhikal Fillms Sdn. Bhd. 
 
 
Personaliti yang cukup peramah dan seiras pelakon Bollywood, Hrithik Rosham ini, sempat berkongsi resipi ibunya yang telah diubah mengikut seleranya. Masakan ini sesuai dimakan bersama nasi, roti atau capati. 
 
 
KARI UDANG PARPU TELOQ
 
 
Bahan-bahan:
1 kilo udang besar atau sederhana besar
2 sudu serbuk kari udang atau ikan
3-4 batang murungai
1/2 cawan santan pekat
3 biji ubi kentang
3 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
1/2 inci halia
1-2 tangkai daun kari
2 cawan air (mengikut sukatan yang disukai)
2 biji telur
Segenggam kacang parpu
Garam secukup rasa
2 sudu minyak masak
 
 
Cara membuat: 
1.  Udang dibersihkan dan ditos.
2. Panaskan minyak dalam kuali atau periuk
3. Kisar bawang besar, halia dan bawang putih, kemudian tumis bahan kisar. 
4. Apabila naik bau dan bawang berwarna kekuningan, masukkan serbuk kari ke dalam periuk. Masukkan sedikit air dan gaul. Biarkan hingga garing. 
5. Masukkan kacang parpu dan kacau rata. Kemudian masukkan garam dan biarkan kuah pekat.
6. Masukkan murungai, diikuti udang dan kacau lagi.
7. Biarkan mendidih dan menjadi sedikit pecah minyak.
8. Masukkan santan dan air mengikut kepekatan yang disukai.
9. Apabila kacang parpu menjadi sedikit empuk, masukkan telur ke dalamnya.
10. Kecilkan api dan kacau sehingga kuah mendidih.
11. Sedia dihidangkan.