Jam adalah pilihan yang ideal untuk dijadikan hadiah istimewa buat insan yang tersayang. Melihat si dia suka dan gemar untuk menggayakan jam tangan yang anda beli pasti akan mengukir senyuman di bibir. Lantas, terdetik rasa bangga kerana anda sendiri yang memilihnya.

 

Jam juga mempunyai nilai sentimental yang tinggi. Lantaran itu, tidak salah sekali-skala berbelanja lebih untuk menghadiahkan yang terbaik. Jam juga lebih tahan lama dan panjang hayatnya, bergantung pada kualiti dan material yang digunakan.

 

Jadi langkah pertama adalah dengan melihat berapa bajet yang boleh anda keluarkan sebelum membuat pilihan yang seterusnya ini.

 

Jenama Mengikut Kesukaan Si Dia

Memilih jam bukanlah sesuatu yang sukar. Salah satu cara yang mudah ialah anda boleh mengenal pasti jenama kegemarannya dengan melihat koleksi jam yang sedang si dia pakai. Tidak salah untuk menghadiahkan jenama yang sama.

 

Tentu ada jenama yang menjadi kegemaran atau koleksi pasangan anda seperti Seiko, Suunto, Adidas atau G-Shock. Dah dapat jenama kesukaannya, lebih senang memilih jam mengikut warna kesukaan pula.

 

Pilih Ikut Keperluan Dan Aktiviti

Anda boleh sesuaikan jam dengan karektor pasangan. Jam yang mempunyai fungsi lain apabila diperlukan. Si dia mungkin seorang yang aktif bersukan dan gemar melakukan aktiviti lasak. Jadi sport watch adalah pilihan yang tepat.

 

Jika pasangan anda sudah mempunyai sport watch, jam dengan rekaan lebih formal untuk dia gayakan di majlis-majlis rasmi atau yang sedikit kasual boleh dipertimbangkan.

 

Jika si dia gilakan gajet, memilih smart watch yang boleh dipadankan bersama telefon pintar boleh dikatakan sebagai satu pilihan yang bijak.

 

Gayakan Mengikut ‘Stail’ Si Dia

Jam mempunyai ‘kuasa’ untuk memberikan perspektif awal terhadap si pemakai dan menonjolkan lagi aura terhadap penampilannya. Justeru itu, jangan lupa untuk padankan rekaan jam dengan pakaian yang selalu si dia kenakan. Pilihlah jam yang mampu menyerlahkan lagi keperibadian arjuna anda itu.