Rambut merupakan mahkota bagi setiap wanita. Jelas sekali bukan mudah untuk memastikan penjagaan rambut sentiasa dalam keadaan yang baik.

 

Kalau kita lihat di pasaran sekarang, jenama-jenama terkenal seperti berlumba-lumba untuk menghasilkan produk yang terbaik buat penjagaan rambut. Namun begitu, usah membazir dengan berbelanja besar untuk mencantikkan rambut kamu kerana satu rahsia telah dijumpai untuk merawat pelbagai masalah rambut seperti rambut gugur, bercabang dan beruban.

 

Lazimnya, daun kari hanya digunakan di dalam masakan tetapi tahukah kamu bahawa daun kari juga turut memberi manfaat kepada rawatan penjagaan rambut ini?

 

Jom kita lihat enam khasiat daun kari yang dapat membuatkan rambut kamu sihat dan kuat selain hitam bersinar.

 

http://polopoly.karangkraf.com:8080/polopoly/polopoly_fs/1.621002.1485915773!/image/image.jpg

 

1.    Cegah pertumbuhan uban

Rambut beruban berpunca daripada ketidakseimbangan diet atau masalah genetik. Daun kari mengandungi vitamin B yang mampu membantu dan mengembalikan nutrisi serta rambut selain memperkuatkan akar supaya rambut kelihatan sihat dan bersinar.

 

2.    Melebatkan rambut

Keringkan darun kari di bawah sinaran matahari, kemudian tumbuk sehingga menjadi serbuk dan campurkan bersama satu sudu besar yogurt. Selepas itu, sapukan campuran tersebut pada kulit kepala dan hujung rambut.

 

3.    Mengurangkan keguguran rambut

Arghh, masalah ini sering kali dihadapi oleh rata-rata daripada kita. Stres bila melihat rambut gugur dengan banyak. Dengan menggunakan daun kari, kamu hanya perlu mencampurkan beberapa helai daun kari dan titiskan susu sehingga menjadi kental seperti masker. Kemudian, sapukan pada kulit kepala dan keringkan sebelum dibilas.

 

http://polopoly.karangkraf.com:8080/polopoly/polopoly_fs/1.621004.1485915853!/image/image.jpg

 

4.    Mencegah kelemumur

Daun kari juga dilihat mampu untuk mencegah pengelupasan kulit kepala dan penumpukan folikel yang menjadi punca utama terjadinya kelemumur. Daun kari kaya dengan antioksida dan asid amino yang membantu mengekalkan kelembapan kulit kepala.  

 

5.    Tonik rambut terbaik

Menjadi tonik rambut terbaik kerana sentiasa memastikan kulit kepala kekal lembap. Caranya, ambil segenggam daun kari dan didihkan bersama dengan dua atau tiga sudu besar minyak kelapa. Kemudian, selepas minyak tersebut disejukkan, sapukan pada keseluruhan rambut.

 

6.    Memperbaiki akar rosak

Hancurkan beberapa helai daun kari dan campurkan dengan minyak zaitun untuk membantu memperbaiki akar rambut yang telah rosak. Sapu pada keseluruhan rambut. Mudah bukan?

 

Mungkin tidak ramai yang tahu akan nutrisi yang ada pada daun kari. Tidak perlu bersusah payah menghabiskan duit untuk mendapatkan produk yang mahal di pasaran, gunakan sahaja tumbuhan yang mudah didapati ini. Bukan sahaja menjimatkan kos, malah ia juga mudah untuk ditanam. Selamat mencuba!

 

Sumber: boldsky.com