Mu’az Abdul Karim merupakan seorang pelajar Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Petaling Jaya yang telah diberi penghormatan oleh Pearson UK (sebuah badan pengiktirafan akademik antarabangsa).

Beliau telah menerima anugerah Outstanding International BTEC Student of the Year 2016 di Royal Horticultural Halls, London, United Kingdom pada  7 Julai 2016 yang lalu.

Beliau merupakan pelajar pertama dari Malaysia dan Asia Tenggara yang telah berjaya merangkul anugerah berprestij itu bersama 800 pencalonan lain dari seluruh dunia.

BTEC atau Business and Technology Education Council merupakan satu sistem akreditasi pendidikan antarabangsa yang berteraskan kepakaran teknikal.

Para pelajar yang mengikuti sistem ini akan berpeluang untuk melanjutkan pelajaran ataupun terus menyertai industri pilihan mereka selepas tamat pengajian.

Penganugerahan yang yang telah diterima oleh Mu’az adalah berdasarkan kecemerlangan beliau dalam akademik dan kejayaan beliau dalam merangkul pelbagai anugerah inovasi di dalam dan luar negara.

Ciptaan beliau yang diberikan nama Smart Lawn Mower juga telah memenangi Pingat Emas  di Eureka Innovation Exhibition.

Di Malaysia, KKTM Petaling Jaya adalah salah satu daripada Institusi Pendidikan MARA (IPMA) yang menyediakan latihan kemahiran dan akademik melalui program BTEC Level 5 HND Diploma in Electronic Engineering dengan kerjasama Pearson Education Limited, United Kingdom. Tahniah buat anak muda kita sekali lagi! Ini baru remaja!