Setiap perhubungan, pasti ramai antara pasangan sudah tetapkan bila waktunya mereka menjalinkan hubungan bersama pasangan mereka dan sambut bersama pada tarikh tersebut.

Pasti ada sahaja rancangan yang kamu akan lakukan untuk memberi kejutan kepada si dia. Salah satu rancangan yang sering dilakukan adalah makan malam bersama atau 'candle light dinner'.

Apabila kamu ingin mengajak pasangan kamu keluar makan malam bersama kamu, sebenarnya terdapat beberapa peraturan dan langkah yang harus kamu ketahui supaya perancangan kamu berjalan dengan lancarnya. Jom ikuti langkah ini.

Memilih tempat

Sebaiknya, pilihlah tempat yang sesuai dengan suasana hati kamu dan pasangan kamu. Adakah kamu gemar memilih suasana romantis atau klasik untuk menarik perhatian si dia?

Pastikan pilihan kamu itu adalah tepat agar ia tidak meninggalkan kesan buruk kepada pasangan kamu gara-gara tersilap pilih tempat.

Tempahan awal

Untuk mendapat 'impak' yang dirasai oleh pasangan kamu itu positif, sebaiknya kamu buatlah tempahan tempat tersebut terlebih awal dahulu. Kamu harus mengenal pasti kod berpakaian untuk ke restoran tersebut. Jangan sampai kamu tersalah kostum. Ia akan merosakkan 'mood' dan selera makan kamu berdua.

Jangan gelojoh

Saat mengunyah makanan, janganlah terlalu cepat ataupun terlalu penuh di dalam mulut kamu. Jadi, janganlah kamu terlalu gelojoh memakan makanan kamu itu.

Cuba makan dan mengunyah setiap suapan selama 10 saat. Kemudian barulah diikuti dengan suapan yang seterusnya.

Janganlah bercakap sewaktu mengunyah

Pasti kamu tidak suka melihat individu yang sedang mengunyah sambil bercakap dengan kamu dalam satu masa yang samakan? Sebaiknya, kamu elakkan dari menghirup sup sehingga berbunyi atau mengunyah dengan mulut terbuka.

Ingat 'napkins'

Letakkan 'napkins' di atas peha kamu dan bukan menggantungkannya pada baju. Jika kamu ingin ke tandas, sebaiknya jangan meletakkan 'napkins' tersebut di atas meja, sebaliknya letakkan ia di kerusi dengan rapi.

Ramah

Meskipun kamu sedang menikmati hidangan lazat, ia tidak bermakna kamu tidak boleh bersikap ramah dan mesra terhadap pasangan kamu. Sebaiknya, kamu tataplah selalu pasangan kamu dengan renungan mesra dan berikan senyuman manis agar acara makan malam kamu terasa lebih berkesan dan bermakna.

Melayan si dia

Bukan melayan seperti yang dilakukan oleh pelayan restoran, tetapi cuba bertanyakan kepada pasangan kamu tentang makanan kegemarannya. Hal ini dilakukan agar makan malam kamu tampak lebih romantis.

Suapan sudu atau garfu

Jangan menantikan masa yang terlalu lama untuk menyuapkan makanan ke dalam mulut. Kerana jika kamu terlalu lama menahan sudu ataupun garfu yang berisi makanan masuk ke mulut kamu, kemungkinan makanan kamu boleh terjatuh atau tumpah.

Oleh sebab itu, suapkan tersu sudu atau garfu ke dalam mulut. Dan jangan berbual-bual sambil memegang makanan terlalu lama untuk masuk ke dalam mulut.

Adab mencungkil gigi

Jika ada makanan yang terselit di celah-celah gigi, cuba kamu bersihkannya dengan pencungkil khas sambil menutup dengan 'napkins'. Jika tiada 'napkins' kamu boleh menggunakan tapak tangan untuk menutup ketika membersihkannya. Ia akan menunjukkan kamu seorang yang sopan dan beradab ketika makan.

Jika ia masih tidak selesa untuk kamu, cara paling selamat adalah meminta izin ke tandas. Di situ, kamu lebih selesa dan boleh membersihkan dengan mengikuti cara kamu tersendiri kerana mustahil untuk pasangan kamu ketahui apa yang kamu lakukan di tandas!

Selamat mencuba dan 'enjoy your dinner'!