Sejak kecil, dia sudah dibawa masuk ke studio rakaman. Bukan sebagai hos seperti yang dilakukan Adriana Adnan ketika ini tetapi kerana sering menemani ibunya, Datin Zamzarina Zambri yang merupakan bekas penyampai berita dan pengacara program di RTM.  

Tidak pernah menyangka akan mengikuti jejak langkah ibunya dalam dunia penyiaran, Adriana yang kini berusia 22 tahun baru sahaja menyambut ulang tahun kelahiran pada 6 Februari lalu. Sedang melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Perakaunan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, gadis lincah dari Kuala Lumpur ini kian dikenali ramai sejurus membintangi drama bersiri Suri Hati Mr Pilot yang memegang watak Jannah.

Siapakah sebenarnya Adriana Adnan di luar kaca televisyen yang tidak diketahui ramai?

Cara paling mudah untuk gambarkan perwatakan saya sebenarnya kena tengok watak Jannah dalam drama Suri Hati Mr Pilot. Macam mana sikap Jannah dalam cerita tersebut, macam itu jugalah diri saya yang sebenarnya. Seorang yang happy go lucky, periang, banyak cakap dan ada masa boleh jadi sangat peramah terutama apabila sudah selesa dengan seseorang. Mungkin orang lihat saya seorang yang feminin tapi saya lasak orangnya. Tiap minggu saya akan mengikuti kelas kick boxing dengan jurulatih yang datang ke rumah.

Sejak bila mula menceburi bidang seni & pengacaraan?

Pembabitan saya dalam bidang ini bermula setahun yang lalu iaitu selepas selesai peperiksaan akhir diploma. Waktu itu Astro sedang mencari wajah baru HLive di lnstagram. Memandangkan ada banyak masa terluang dan atas galakan mama, Datin Zamzarina Zambri saya memberanikan diri untuk hadir ke sesi uji bakat. Selepas berjaya mengharungi pelbagai cabaran akhirnya nama saya disenarai pendek. Daripada beribu peserta yang datang, hanya dua orang sahaja yang terpilih dan salah seorang daripadanya adalah saya. Jadi, dari situlah saya mendalami dunia penyiaran dan pengacaraan. Beberapa bulan kemudian, Astro adakan uji bakat untuk berlakon pula. Kali ini, bos yang suruh cuba dan syukur sebab saya terpilih untuk berlakon bersama Neelofa dan para pelakon Suri Hati Mr Pilot. Ia juga merupakan kali pertama saya muncul sebagai pelakon. Sebelum ini tak tahu pun ada bakat terpendam.   

Siapakah pendorong anda dalam bidang ini?

Sudah tentu mama. Dari kecil saya sudah didedahkan kepada dunia penyiaran kerana mama juga pengacara dan pernah menjadi penyampai berita. Mungkin kerana sudah biasa melihat mama di kaca televisyen secara tidak langsung menarik minat saya untuk mengikut jejak langkah beliau.  Iyalah, sejak kecil lagi saya sudah ke hulu ke hilir ikut mama masuk studio dan tolong mana yang perlu. Hinggakan pernah terdetik untuk menjadi seperti dirinya. Sampai sekarang pun mama adalah pengkritik utama dan memantau perkembangan kerjaya saya.  

Kongsikan penjagaan kulit dan tubuh anda agar tampak sihat dan bertenaga.

Penjagaan dari segi kesihatan kulit saya memang menggunakan produk Zarra Sinar Puteri sepenuhnya sejak dari sekolah menengah lagi ketika berusia 17 tahun. Biasanya apabila balik dari kerja perkara pertama yang saya buat adalah mencuci bersih mekap. Kemudian, baru sapu penyegar wajah dan krim malam. Sesibuk mana pun kena disiplin bab penjagaan wajah. Begitu juga soal kesihatan tubuh badan. Makan kena jaga lebih-lebih lagi dengan tugas saya yang memerlukan tenaga sepanjang hari. Saya tidak mengambil sebarang makanan suplemen cuma akan pastikan makanan yang saya ambil ada kandungan protein, karbohidrat dan nutrien untuk tubuh. Di samping itu, saya turut mengamalkan budaya bersukan seperti kick boxing sekurang-kurangnya dua kali seminggu mengikut kesesuaian masa.