XINXIANG - Seorang murid lelaki berusia 11 tahun dari China nekad untuk menaikkan berat badan demi menyelamatkan nyawa ayahnya yang menghidap leukemia.

Ayah Lu Zikuan didiagnos menghidap leukemia tujuh tahun lalu dan kini amat memerlukan pemindahan tulang sumsum untuk terus hidup.

Doktor memaklumkan, Zikuan merupakan satu-satunya ahli keluarga yang layak menderma tulang sumsum namun dia terlebih dahulu perlu mencapai berat sekurang-kurangnya 45 kilogram.

Bagi tujuan itu, Zikuan yang menetap di bandar Xinxiang, wilayah Henan kini makan sekurang-kurangnya lima hidangan setiap hari dan beratnya telah meningkat dari 30 kilogram kepada 43 kilogram sejak bulan Mac lalu.

Seorang guru di sekolah Zikuan berkata, pada awalnya terdapat rakan sekelas yang mengejek kanak-kanak itu gemuk namun setelah mengetahui sebab sebenar berat badannya naik, mereka berhenti berbuat demikian.

Zikuan tidak marah diejek gemuk dan akan terus makan sehingga mencapai berat ideal 50 kilogram untuk menjalani pembedahan yang akan menyelamatkan nyawa ayahnya. - Agensi

Artikel berkaitan:

Tolak tawaran belajar ke luar negara dan tekad ambil STPM... Habil buat semua ini kerana ibu

Bergilir ponteng sekolah jaga ibu sakit

Jaga ibu sakit, tak halang Fatihah berjaya

Tak pergi sekolah jaga bapa lumpuh, hasrat pelajar mahu duduki peperiksaan PT3 tercapai

Rindu ibu ayah - Murid lapan tahun menangsi ketika di asrama