KUANTAN- 'Saya rindu kakak.' Mungkin itulah yang difikirkan adik mangsa, Mohamad Khairy Ibrahim, 9, sambil memeluk gambar kakaknya, Siti Masitah, 11.

Perbuatan itu cukup membuatkan hati ibunya, Solihah Abdullah, 35, luluh hingga mengalirkan air mata.

Situasi itu dirakam jurugambar Bernama ketika berkunjung ke rumahnya, petang tadi.

Sementara itu, ini hasil bedah siasat yang dilaporkan Wartawan Sinar Harian, Norawazni Yusof.

Mohamad Khairy memeluk gambar kakaknya.

Dendam  terhadap keluarga Siti Masitah Ibrahim didakwa menjadi punca kepada pembunuhan kepada kanak-kanak berusia 11 tahun itu oleh suspek yang dikenali mereka.

Kanak-kanak berketurunan Kemboja berkenaan dipercayai dipukul dengan objek tumpul di bahagian kepada oleh suspek berusia 23 tahun pada hari dia dilaporkan hilang pada 30 Januari lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Othman Nayan berkata, motif terbabit disimpulkan berdasarkan hasil bedah siasat yang telah dijalankan pada hari ini.

Menurutnya,  terdapat tiga kecederaan di rahang kiri, bahagian atas tengkorak sebelah kiri belakang kepala mangsa.

"Kecederaan ini punca mangsa meninggal dunia, selain pengakuan awal suspek yang mendedahkan penglibatan dirinya berkait dengan kehilangan mangsa pada 11 hari lalu.

Hasil pengakuan itu juga, polis telah merampas senjata kayu yang dipercayai digunakan oleh suspek untuk memukul mangsa,” katanya dalam satu kenyataan.

Solihah mententeramkan Mohamad Khairy yang merindui kakaknya.

Siti Masitah dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Kampung Medang Hilir di Pekan dekat sini untuk ke kedai dengan menunggang basikal kira-kira jam 5 petang 30 Januari lalu.

Mayat anak ketiga daripada empat beradik itu ditemukan kira-kira jam 4 petang kelmarin oleh penduduk kampung yang memburu ayam hutan di dalam semak bersebelahan sebuah ladang kelapa sawit di Tanjung Medang Kemahang, kira-kira tiga kilometer dari rumahnya.

Othman bagaimanapun berkata, suspek berusia 23 tahun yang juga warganegara Kemboja disiasat bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Ini pula cerita ibu saudara mangsa yang melihat bagaimana Solihah menangis dan mkerayu supaya Assum, iaitu lelaki yang ditahan polis untuk bantu siasatan mengembalikan anaknya pada malam kehilangan Siti Masitah.

Berita lanjut boleh dibaca menerusi link ini https://www.gpsbestari.com/berita/pahang/sambil-menangis-kak-long-merayu-agar-assum-pulangkan-siti-masitah-ibu-saudara-buka-cerita-1.922178

Ibu kanak-kanak dibunuh Solihah Abdullah, 35, melihat gambar anaknya Siti Masitah Ibrahim, 11, yang mati dibunuh ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tanjung Medang
Hilir, hari ini.