BAHAGIAN SATU

SEKITAR tiga tahun lepas iaitu pada bulan Ramadan saya telah dihubungi oleh seseorang yang berhajat untuk meminta saya datang ke rumah. Dia memperkenalkan dirinya sebagai Makcik Leha.

Ketika itu saya baru balik dari pusat rawatan bagi menyusun pakaian hasil sumbangan kaum Muslimin untuk jualan amal kami bagi mencari dana, untuk program pembangan Madrasah al-Quran yang baru di Kampung Baru Bintulu.

Saya meminta Makcik Leha untuk kembali menelefon saya pada keesokan harinya memandangkan pada malam Makcik Leha menghubungi saya, ‘line’ telefon sedikit terganggu sehinggakan saya tidak mendengar dengan jelas apa yang dikatakan oleh beliau.

Lagipun Makcik Leha sekadar meminta untuk menengok-nengokkan rumahnya sahaja dan tiada keperluan kecemasan untuk datang pada malam itu juga. Jadi saya meminta Makcik Leha untuk menghubungi saya pada tengah hari esok.

Keesokan harinya, setelah balik dari sekolah, saya singgah sebentar di pasar (Bandar lama Bintulu) untuk pergi ke kedai Syarikat Perniagaan Melayu untuk membeli buah kurma.

Kedai Syarikat Perniagaan Melayu ini juga ada menjual al-Quran, buku-buku agama, majalah, minyak wangi dan sebagainya.

Untuk kebanyakan penduduk tempatan Bintulu, kedai Syarikat Perniagaan Melayu ini lebih dikenal dengan nama kedai ‘Tambi Sarip’ dan nama ini kekal hingga sekarang di bibir penduduk tempatan.

Bagi yang bermastautin atau yang baru menetap di Bintulu pula memang terbiasa dengan nama Syarikat Perniagaan Melayu. Apa pun namanya, di sinilah antara kedai yang selalu dikunjungi oleh ibu saya sehingga sekarang.

Semasa saya sedang memilih buah kurma untuk dijadikan juadah berbuka saya, telefon saya kembali dihubungi oleh Makcik Leha.

“Assalamualaikum cikgu. Ni Makcik Leha. Yang telefon cikgu malam tadi.”

“Waalaikumsalam makcik. Makcik apa khabar? Minta maaf kalau semalam tak dapat nak bercakap panjang dengan makcik. ‘Line’ tak berapa jelas.”

“Makcik sihat alhamdulillah. Tak apalah cikgu. Makcik paham. Macam ni cikgu. Ada banda yang saya nak mintak pertolongan dari cikgu sebenarnya.”

“Nak mintak tolong apa makcik?”

“Macam ni. Makcik nak mintak tolong cikgu datang ke rumah malam ni. Nak mintak tolong tengok-tengokkan rumah makcik.”

“Kenapa dengan rumah makcik?”

“Macam ni cikgu. Rumah makcik ini macam ada gangguanlah. Selalu saja berlaku benda-benda pelik.”

“Pelik macam mana tu?”

“Alah...Macam ni cikgu. Rumah makcik ni selalu macam ada orang lain kat rumah. Macam ada bunyi orang berjalan kat tingkat atas rumah. Bunyi orang memanggil-manggil nama kami anak beranak. Kadang-kadang macam ada orang memasak kat dapur. Bunyi orang berlari. Kadang-kadang selalu jugak binatang berbisa masuk ke dalam rumah. Macam ular, kala jengking dan sebagainya sedangkan rumah makcik selalu je bertutup rapat. Pernah sekali tu ada orang yang ganggu makcik.”

“Oo...Itu bukan pelik makcik tapi tu mungkin tanda-tanda ada gangguan di rumah makcik. Kalau benarlah apa yang makcik ceritakan dengan saya ni tadi.”

“Kalau macam tu macam mana cikgu? Apa perlu makcik buat?”

“Macam tulah makcik.”

“Macam tu tu macam mana cikgu?”

“Ok. Sekarang ni apa yang makcik nak minta tolong dari saya?”

“Kalau boleh makcik nak mintak tolong cikgu pergi ke rumah malam ni. Jadi seram pulak makcik apabila cikgu kata rumah makcik ada penunggu. Lagipun makcik pun pernah kena ganggu.”

“Tak adapun saya kata rumah makcik ada penunggu.”

“Lepas tu?”

“Saya cuma kata ada tanda-tanda gangguan jin kat rumah makcik. Itu pun kalau ada.”

“Matilanak...Lagilah makcik risau.”

“Makcik tak payah risau. Insya-Allah lepas solat tarawih malam ni saya pergi ke rumah makcik.”

“Alhamdulillah syukur. Bingung jugak makcik sekarang ni.”

“Siapa yang ada kat rumah makcik malam nanti?”

“Makcik dan dua orang anak makcik. Suami makcik dah tak ada dah meninggal tiga bulan lepas.”

“Innalillahi wa inna ilaihi roji’un. Saya minta maaf makcik. Saya tak tahu.”

“Tak apa cikgu.”

“Kalau macam tu lepas solat tarawihlah saya datang ke rumah makcik. Makcik tinggal kat mana?”

“Makcik tinggal kat Jalan Bintulu Tatau (Tatau adalah sebuah pekan kecil dalam Bahagian Bintulu. Lebih kurang 45 km dari Bandar Bintulu). Dalam beberapa km selepas simpang Lapangan Terbang Bintulu, ada sebuah simpang di sebelah kanan. Cikgu masuk ke dalam simpang tu. Lepas tu tak sampai satu km cikgu akan jumpa sebuah rumah lama. Itulah rumah makcik.”

“Sebenarnya kat situ ada dua buah rumah saja cikgu. Rumah makcik dan rumah abang makcik. Cuma abang makcik dan isterinya tak ada di Bintulu. Mereka ‘berambeh’ (menumpang tidur sekaligus berziarah) di rumah anak mereka kat Kuching. Lebih kurang dua minggu dah. Tu yang makin sunyi kitorang anak beranak malam-malam.”

Diganggu

“Tetapi gangguan baru-baru semakin kuat. Apa lagi lepas abang makcik pergi ke Kuching. Makin banyak benda-benda pelik berlaku. Sebelum ni kami anak beranak selalu mendengar suara orang memanggil nama kami. Apa lagi kalau kami seorang-sorang kat rumah atau di dalam bilik. Tetapi baru-baru ni gangguan semakin teruk. Benda tu selalu mengganggu. Menyerupai seorang perempuan. Rasa nak mati makcik kena ganggu cikgu.”

“Makcik pernah terkena sekali cikgu dengan benda tu. Dua hari lepas. Masa tu makcik kat tingkat atas. Makcik terdengar orang memberi salam. Makcik ingatkan yang anak perempuan makcik dah balik dari kerja. Anak makcik kerja kerani kat ladang. Tak jauh dari rumah makcik. Kebetulan masa tu lepas maghrib. Anak makcik ada telefon bagitau balik lewat sedikit sebab nak selesaikan urusan permit pekerja tempat anak makcik kerja.”

“Lepas turun kat tingkat bawah, makcik lihat pintu dah terbuka. Makcik panggil nama anak makcik berulang kali tapi tak ada jawaban. Sunyi je. Makcik cuba untuk ‘call’ hp anak makcik kalau-kalau anak makcik memang dah sampai ke atau terus masuk ke dalam bilik kat tingkat atas...Tapi...”

Makcik Leha terdiam. Dia teringat lagi pada ketika dia menghubungi anaknya pada dua malam yang lepas. Malam yang tidak dapat dilupakan oleh Makcik Leha selamanya.

“Assalamualaikum Syikin.”

“Waalaikumsalam mak. Apahal mak telefon?”

”Syikin kat mana? Syikin dan balik rumah ke? Kenapa tak tutup pintu? Nanti orang jahat masuk.”

“Syikin belum balik lagilah mak. Kan Syikin dah bagitau mak yang Syikin balik lewat hari ni?”

“Lepas tu sapa yang bagi salam ni tadi. Sapa yang bukak pintu rumah kita?”

“Apa mak? Syikin tak dengar.”

“Tak ada apa-apa nak. Nanti balik cepat-cepat. Mak dah suruh abang pergi dan tunggu Syikin sampai balik kerja nanti. Dah sampai rumah telefon tau?”

“Baiklah mak. Syikin sambung buat kerja dulu. Jap lagi Syikin balik.”

“Baiklah nak. Hati-hati balik nanti. Bagitau kat abang. Assalamualaikum.”

“Waalaikumsalam mak.”

Makcik Leha mematikan panggilan hp di tangannya. Sempat jugak Makcik Leha menjenguk ke luar sambil memerhati kalau-kalau ada orang yang cuma untuk menakut-nakutkan dia.

Juga memandang ke arah rumah abangnya di sebelah yang tertutup rapat. Manalah tau kalau-kalau abangnya sekeluarga telah balik dari Kuching.

Hatinya sedikit lega. Menurut Makcik Leha semua ini cuma khayalannya saja. Selepas itu Makcik Leha menutup pintu rumahnya dan mula melangkah untuk naik ke biliknya di tingkat atas.

Semasa baru dua tiga kali melangkah, tiba-tiba Makcik Leha terdengar namanya dipanggil berulang kali. Makcik Leha kenal benar suara tu. Itu suara anaknya Syikin.

Sedangkan Syikin masih lagi di tempat kerjanya. Baru sebentar tadi Makcik Leha menelefon Syikin untuk kepastian.

Makcik Leha mula memandang ke arah sekeliling untuk mencari dari manakah bunyi suara Syikin yang memanggil namanya berulang kali.

“Mak...Hehehe...Mak...Ini Syikin...Mak datanglah kat sini...Mak...”

Makcik Leha mula ketakutan. Bahkan lebih takut dari sebelumnya. Makcik Leha tidak tahu di manakah punca arah suara tersebut yang memanggil-manggil namanya berulang kali itu.

“Sini mak...Syikin kat sini...Mak datanglah kat sini...Hahaha...”

Badan Makcik Leha mula menggigil. Tetapi dia gagahkan juga dirinya. Paling-paling pun untuk berlari atau menjerit. Makcik Leha berusaha untuk mencari arah bunyi tersebut. Dah akhirnya Makcik Leha perasan yang suara tersebut berpunca dari bilik dapur mereka di tingkat bawah. Tidak jauh dari tangga naik ke tingkat atas.

“Mak...Hehehe...Kalau mak tak nak datang sini biar Syikin yang ke sana saja...”

Makcik Leha tidak dapat menahan katakutannya dan dia mengambil keputusan untuk lari dan naik ke biliknya di tingkat atas.

Cuma masalahnya apabila Makcik Leha berusaha untuk lari ke tingkat atas, Makcik Leha terpaksa berhadapan dengan pintu dapur yang gelap yang mana suara itu berpunca dari arah tersebut.

Makcik Leha tetap nekad untuk naik juga ke atas. Kerana di situ dia merasa lebih selamat. Sedangkan dia terfikir juga untuk berlari keluar dan menuju ke rumah jiran-jiran dan sebagainya.

Tetapi di situ tidak ada rumah orang lain. Cuma rumah Makcik Leha dan rumah abangnya saja. Kadang-kadang dalam keadaan terlalu takut, kita tidak dapat berfikir secara waras.

Selepas itu Makcik Leha berlari sekuat-kuatnya menuju ke arah anak tangga. Sedangkan suara ‘Syikin’ terus menerus memanggil nama Makcik Leha.

Dan Makcik Leha yakin bahawa memang suara ‘Syikin’ tersebut benar-benar dari arah dapur yang gelap.

Sambil itu Makcik Leha membaca beberapa ayat al-Quran. Oleh kerana terlalu takut, bacaan al-Quran Makcik Leha lintang pukang. Asalnya ada bunyi Arabnya sudahlah.

Sesampainya saja di kawasan anak tangga, Makcik Leha sempat memperlahankan langkahnya. Risau juga kalau-kalau terus berlari nanti dia akan masuk terus ke dalam dapur.

Lalu berkenalan dengan pemilik suara dari arah dapur yang gelap tadi.

Makcik Leha sempat juga menjeling ke arah dapur. Di antara pintu dapur yang ditutupi dengan kain tabir yang nipis, Makcik Leha terpandang sesuatu.

Makcik Leha melihat seperti ada sesosok tubuh badan seorang perempuan. Betul-betul di sebalik tabir jendela tadi. Sedang memerhatikan dia. Jarak mereka cuma dua tiga meter sahaja. Wajah perempuan itu tidak berapa kelihatan.

Tetapi apa yang pasti perempuan itu sentiasa tersenyum memandang ke arah Makcik Leha dengan pandangan matanya yang tajam. Sambil kedua tangannya mendepa ke hadapan seperti menyeru Makcik Leha untuk menyambut dakapannya.

“Allahu Akbar. Lari kau dari sini syaitan. Jangan datang ke mari.”

“Mahu lari ke mana kamu? Datanglah ke mari. Dalam dakapan aku. Nanti kita akan pergi ke suatu tempat. Di sanalah kamu akan tinggal selamanya. Apa kamu mahu?”

“Tidak. Aku tidak mahu. Kamu pergilah sendiri.”

“Marilah ke sini. Aku janjikan sebuah kematian yang kamu dambakan. Kematian yang tanpa meninggalkan rasa sakit sedikitpun.”

“Tak nak. Tak nak.”

“Kemarilah kamu. Hehehehe...”

Makcik Leha menjerit sekuat-kuat hatinya. Lalu dia melangkah dan berlari sekuat hati menuju ke tingkat atas iaitu di biliknya sendiri sambil memandang ke arah tingkat bawah.

Dia terkejut dan merasa sangat takut apabila melihat perempuan di sebalik tabir jendela dapur tadi mula mengekorinya sambil merangkak-rangkak menaiki anak tangga.

Perempuan berkulit pucat

Apa yang pasti perempuan berkulit pucat tersebut cuba untuk mengejar-ngejar Makcik Leha sambil wajah menakutkannya itu terus menerus tersenyum memandang Mak Leha.

Sesampainya di dalam bilik, Makcik Leha terus menutup pintu serta menguncinya dari dalam.

“Tok...Tok...Tok...”

Bunyi ketukan dari pintu bilik Makcik Leha kedengaran diketuk dengan kuat berulang kali.

“Tok...Tok...Tok...”

“Keluar. Keluar kamu dari rumah aku. Keluar..”

“Engkaulah yang keluar ke mari. Aku teringin untuk melihat wajahmu sedekat yang mungkin. Apa boleh kita saling memandang antara satu sama lain. Bercerita bersama-sama. Semudah itukan? Lalu kita boleh menjadi sahabat akrab. Hidup berdua mati bersama. Hahaha...”

“Tidak. Aku tidak mahu. Pergi...Pergi dari sini.”

“Kalau kamu tidak mahu keluar, apa aku yang perlu untuk masuk ke dalam untuk menemui engkau?”

“Ya Allah, tolonglah aku yang Allah. Aku tidak pernah setakut ini. Tolonglah aku yang Allah.”

“Hahaha...Panggillah sesiapa saja ke mari. Yang penting biar aku bersua dengan kamu dulu. Hahaha...”

“Tidak. Aku tidak mahu.”

“Kalau begitu biar aku saja yang masuk ke dalam. Hahaha...”

Tiba-tiba telefon Makcik Leha berdering. Kebetulan hp Makcik Leha berada di atas lantai. Sedangkan Makcik leha duduk di atas katilnya. Tidak jauh dari hpnya berada.

Bunyi ketukan dan suara perempuan tadi telah hilang entah ke mana. Makcik Leha memerhati keadaan sekeliling biliknya. Secara perlahan-lahan Makcik Leha turun dari katilnya dan berjalan mendekati kedudukan hpnya di atas lantai.

Bunyi deringan hp Makcik Leha berdering kembali. Dia cuba untuk memerhati akan nama yang tertera di situ.

Ternyata apa yang terpampang pada skrin adalah nama ‘Abang’ dan juga gambar Allahyarham suaminya sedangkan Allahyarham suaminya telah meninggal dunia tiga bulan yang lepas dan nombor hp Allahyarham suaminya juga sudah tidak digunakan lagi hingga sekarang.

Makcik Leha cuba untuk kuatkan hati. Dia mengambil hp tersebut dan cuba untuk menjawabnya.

“Hello..”

“Tolong abang..”

Tut...Tut...Tut...Tut...Tut...

Makcik Leha mencampakkan hp miliknya lalu menangis ketakutan. Dia tidak tahu dan tidak faham apa yang berlaku sebenarnya. Makcik Leha bingung dengan apa yang terjadi.

Dia cuma memandang ke arah hp yang dicampakkannya betul-betul di atas lantai di sampingnya.

Kemudian hp Makcik Leha berdering kembali. Dia tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Bingung, sedih dan ketakutan bermain di jiwanya. Dalam keadaan berani-berani takut, Makcik Leha cuba untuk melihat nama yang terpampang pada skrin hpnya.

Dan cuma kali ini nama yang terpampang adalah nama Syikin iaitu anaknya. Mungkin kali ini yang menelefon Makcik Leha adalah Syikin. Itulah yang Makcik Leha rasanya. Dia cuba untuk menjawab panggilan tersebut.

Makcik Leha menarik nafas sedalam-dalamnya lalu menuruni katil dengan perlahan-lahan. Apabila Makcik Leha cuba untuk mengambil hpnya, tiba-tiba ada sepasang tangan yang tiba-tiba muncul dari bawah katil Makcik Leha dan mengambil hp tersebut lalu dibawa ke bawah katil.

Makcik Leha tidak pernah menduga sedikit pun bahawa akan muncul tangan yang pucat seperti mayat dan dipenuhi dengan air-air yang berlendir itu dan berbau itu akan mengambil hp miliknya.

Kerana terlalu terkejut, Makcik Leha kembali menjerit dan melompat di atas lantai bilik lalu berlari keluar dari bilik dan menuju ke tingkat bawah.

Anak tangga dilangkah tanpa berhati-hati. Asalkan sampai ke pintu keluar rumah. Siapa yang mahu diganggu begitu rupa.

Makcik Leha menjerit sekuat-kuatnya sambil menuju ke arah pintu rumah mereka. Sedangkan pintu rumah mereka kembali diketuk bertalu-talu dari arah luar. Bagi Makcik Leha, yang penting keluar dulu dari rumah mereka.

Siapa pun yang cuba mengganggu dengan cara mengetuk pintu atau cuba untuk menahan pasti akan dihempas dengan pintu yang dibuka dengan kasar oleh Makcik Leha nanti.

Sesampainya di muka pintu, Makcik Leha berusaha membuka cembul pintu secepat mungkin sambil matanya memandang ke arah anak tangga yang menuruni hingga tingkat bawah.

Kelibat perempuan tadi sudah tidak ada. Tetapi jiwanya tetap mengatakan bahawa ada seseorang yang sedang memerhati pergerakan mereka.

Akhirnya, setelah berusaha dan berjaya membuka pintu rumah mereka, Makcik Leha meluru keluar dan menjerit meminta tolong.

Tetapi langkah Makcik Leha terhenti apabila dia melihat Syikin sedang berdiri sambil menatap wajahnya dengan senyuman.

“Hantu...”

“Ni Syikinlah mak, bukan hantulah. Bawak beristighfar mak.”

“Astaghfirullahal azhim.. Astaghfirullahal azhim.. Astaghfirullahal azhim..”

“Mak kenapa?”

Makcik Leha tidak dapat untuk menjelaskan apa yang berlaku. Nafasnya bergerak kencang. Jiwanya bercelaru. Makcik Leha cuma dapat menutup matanya. Walau barang sebentar. Dan akhirnya Makcik Leha pengsan dalam dakapan Syikin.

Tersedar

“Makcik...Makcik Leha...Makcik...”

“Er...Ya cikgu...”

“Makcik ok ke?”

“Makcik ok nak. Makcik minta maaf tadi. Makcik terfikirkan sesuatu sebenarnya.”

“Oo...Tak apa makcik. Saya faham. Mungkin ada sebab makcik tak dapat nak teruskan cerita makcik tadi.”

“Saya minta maaf cikgu. Saya tak berani nak cerita. Kalau makcik cerita kat cikgu seolah-olah benda tu ada sekali bersama dengan kita.”

“Tak apa makcik. Mana-mana yang makcik selesa.”

Saya mula terbayang perjalanan ke rumah Makcik Leha. Terpaksa melalui Jalan Bintulu Sibu. Pada malam hari serta gelap malam yang akan menemani sepanjang perjalanan saya nanti. Entah apa entah siapa yang akan menyambut kedatangan saya.

Apa lagi perjalanan ke rumah Makcik Leha akan mengambil masa sedikit panjang. Meredah malam yang gelap ke laluan Jalan Bintulu Tatau. Mencari simpang di sebelah kanan.

Kemudian melalui hutan kecil serta kebun-kebun dan akhirnya akan jumpa sebuah rumah lama. Rumah Makcik Leha.

Bulan Ramadan seperti ini juga mengingatkan saya tentang sesuatu.

Memang saya tahu bulan-bulan puasa seperti ini gangguan syaitan dan jin itu berkurangan tetapi saya tetap tiada jaminan bahawa kemungkinan juga saya akan diganggu nanti.

Tetapi saya tetap berusaha untuk membantu Makcik Leha. Walaupun sekadar datang untuk menjenguk sahaja mereka sekeluarga. Kerana kalau kehadiran perawat datang ke rumah pesakit, Insya-Allah 50 peratus masalah akan selesai dengan izin Allah.

“Baiklah makcik. Malam ni saya pergi ke rumah makcik.”

“Alhamdulillah. Terima kasih sangat-sangat cikgu. Malam nanti dalam pukul 10 malam saya akan tunggu cikgu kat simpang jalan besar.”

“Baiklah makcik. Malam nanti kita jumpa ok.”

“Ok cikgu. Terima kasih sekali lagi.”

“Sama-sama makcik. Assalamualaikum.”

“Waalaikumsalam.”

Saya memandang kembali ke arah hp saya lalu menyimpan di dalam beg sandang saya. Saya memerhati gelagat orang ramai yang lalu lalang di hadapan Kedai Syarikat Perniagaan Melayu. Ketika itu suasana agak tenang.

Sesekali beberapa buah kereta dan motosikal bergerak perlahan mengikut arus.

Begitu juga di dalam Kedai Syarikat Perniagaan Melayu ini. Kelihatan beberapa orang lelaki sebaya saya tengah sibuk memilih dan mengacu songkok ke kepala anak mereka. Ada yang sedang memilih buku-buku, membeli minyak wangi dan sebagainya.

Suasana ketika itu sangat mengasyikkan. Apa lagi telinga kami dihidangkan dengan lagu ‘Suasana Hari Raya’ nyanyian Anuar Zain dan Elina. Salah satu lagu ‘killer’ di bulan puasa ini. Sedikit sebanyak dapat juga mengurangkan rasa penat dan lelah dalam mengharungi bulan Ramadan ini.

Saya sempat juga membeli sebuah buku bertajuk ‘Ikhtiar Penyembuhan Penyakit Dengan Ayat-Ayat Dan Doa-Doa Mustajab’ nukilan Allahyarham Ustaz Haron Din (Semoga Allah merahmati beliau dan menempatkan beliau bersama para syudaha. Amin) untuk rujukan saya.

Untuk menambah ilmu pengetahuan saya berkenaan dengan rawatan Islam ini. Juga untuk menambah rasa kecintaan saya kepada para ulama seperti Allahyarham Dato Harun Din ini atas ilmu yang pernah dicurahkannya kepada kita.

Selepas itu saya pulang ke rumah untuk beristirehat. Sementara menunggu untuk berbuka puasa bersama ibu saya dan juga bersama isteri dan anak-anak.

Cuma tahun ini rasanya sedikit janggal. Juga terasa agak sunyi. Kerana isteri saya sedang berada di Kuala Lumpur untuk urusan kerja selama sebulan dan anak-anak saya juga berada di Seremban. Di rumah mertua saya.

Tinggallah saya keseorangan di rumah. Berbuka puasa dan bersahur sedirian. Rumah terasa sunyi. Tiada gelak tawa anak-anak. Tiada teman untuk saya bernyanyi bersama. Juga tiada teman untuk saya mengajuk Kisah dari cerita Si Nopal dan adiknya Cute Girl.

Pada malam itu setelah saya solat Isyak dan tarawih, saya telah bersiap untuk pergi ke rumah Makcik Leha. Mungkin perjalanan ke sana cuma mengambil masa 30 minit. Tergantung juga dengan keadaan lalu lintas pada masa tersebut.

Saya mulakan perjalanan saya dengan doa perjalanan yang dianjurkan dalam Islam sepertimana yang disebut dalam sebuah hadis Rasulullah SAW iaitu;

“Apabila seseorang keluar dari rumahnya kemudian dia membaca doa;

“Bismillahi, tawakkaltu ’ala Allah, laa haula wa laa quwwata illaa billaah.”

“Dengan nama Allah, aku bertawakal kepada Allah. Tiada daya dan kekuatan kecuali dengan Allah.”

“Maka disampaikan kepadanya, ‘Kamu diberi petunjuk, kamu dicukupi keperluannya dan kamu dilindungi.’ Serta-merta syaitan-syaitan pun menjauh darinya. Lalu salah satu syaitan berkata kepada temannya, ’Bagaimana mungkin kalian dapat mengganggu orang yang telah diberi petunjuk, dicukupi, dan dilindungi.’ (HR. Abu Daud, no. 5095; Turmudzi, no. 3426; dinilai shahih oleh Al Albani)

(Makna ‘disampaikan kepadanya’ yang menyampaikan adalah Malaikat. Malaikat itu mengatakan kepada orang yang membaca doa ini ketika keluar rumah, ’Wahai hamba Allah, kamu telah diberi petunjuk, dicukupi, dan dilindungi.’ (Tuhfatul Ahwadzi: Syarh Sunan Turmudzi, 9:271)

Selepas itu saya mula membaca zikir Al Ma’tsurat. Zikir Al Ma’tsurat ini merupakan wirid dan doa harian yang diamalkan oleh Rasulullah SAW. Ia telah disusun dan dihimpunkan oleh Al Imam Asy Syahid Hasan Al Banna berdasar dalil-dalil sahih.

Perjalanan ke rumah Makcik Leha

Saya menggunakan jalan yang biasa saya gunakan untuk pergi ke sekolah saya di SK Kampung Jepak. Pada malam itu suasana cukup tenang.

Kemilau bintang dan sinar rembulan sudah cukup untuk mengingatkan saya akan kebesaran Allah. Semua ini tidak Allah ciptakan secara sia-sia. Allahu Rabbi. Firman Allah;

“Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal, (iaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): “Ya Rabb kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka”. (Surah Ali ‘Imran: 190-191)

Selepas itu saya mengharungi keindahan malam itu dengan mengucapkan tasbih, tahmid dan takbir kerana saya amat mengharapkan perlindungan Allah dari gangguan makhlukNya dan dari sesuatu yang saya tidak tahu melainkan kesemuanya berada di dalam genggaman Allah.

Setelah melewati jalan tanah perkuburan Kemunting, Desa Damai, SJK Siong Boon, R.P.R Jalan Sebiew, J.P.J, Jambatan Kemena, Simpang ke Jepak dan akhirnya saya telah sampai ke simpang Lapangan Terbang Bintulu.

Saya mengambil keputusan untuk berhenti sebentar di bahu jalan. Kerana di hadapan saya tiada lampu-lampu untuk menerangi perjalanan saya. Semuanya sunyi dan gelap. Saya merasa sangat terasing pada ketika itu.

Selepas beberapa minit saya teruskan perjalanan saya sambil melafazkan zikir kepada Allah. Saya perlu untuk bergerak beberapa km lagi ke hadapan untuk sampai ke simpang rumah Makcik Leha walaupun saya sendiri tidak pasti. Atau lebih tepatnya tidak tahu di mana simpang menuju ke rumah Makcik Leha sebenarnya.

Tetapi petunjuknya cuma satu sahaja. Makcik Leha akan menanti saya di simpang jalan. Saya cuma berserah sahaja kepada Allah. Kerana Allah sahaja tempat saya bergantung segala sesuatu.

Semasa mengharungi jalan yang gelap dan sunyi ini, saya mengambil keputusan untuk memandu selaju 60km sejam. Agar perjalanan saya lebih selamat. Lagi pula kabus mula memenuhi daratan dan juga di jalan raya.

Pada ketika itu langsung tidak ada sebuah kereta pun melainkan kereta saya sahaja. Sehinggalah apabila saya telah mengharungi beberapa km perjalanan, saya terlihat dari jauh ada sepasang cahaya lampu kekuningan.

Lebih kurang berjarak setengah km dari kedudukan kereta saya. Berada di bahu kanan jalan. Mungkin itulah kereta Makcik Leha.

Lebih kurang 50 meter dari arah kereta tersebut saya mula memberi signal ‘high beam’ kepada kereta berkenaan dan kereta tersebut membalas kembali dengan memberi isyarat ‘high beam’ juga kepada saya. Mungkin benar itu Makcik Leha.

Sesampainya di hadapan kereta tersebut, saya meletakkan kereta betul-betul di hadapan kereta tersebut dan keluar dari kereta. Saya perhatikan ada dua orang perempuan dan seorang lelaki di dalam kereta berkenaan dan lantas memberi salam.

“Assalamualaikum.”

“Waalaikumsalam. Cikgu Malik ke?”

“Ya kak. Makcik Lehakan?”

“Ya cikgu. Nasib baik cikgu tak tersesat sampai ke Tatau.”

“Alhamdulillah makcik. Takdelah. Hehehe...Mana rumah makcik?”

“Kat dalam sana cikgu.”

Makcik Leha menunjukkan kepada saya arah tersebut sambil mulutnya terus ke hadapan. Saya perhatikan wajah Makcik Leha dan mungkin kedua orang anaknya. Untuk kepastian saja.

“Ni anak makcik. Syikin dan Azman.”

Saya melemparkan senyuman kepada mereka dan mereka berdua juga kemudiannya membalas senyuman saya. Saya cuba membaca Surah Kursi di dalam hati.

Agar saya betul yakin bahawa di hadapan saya ketika ini adalah benar-benar manusia dan bukan tipu daya jin.

“Kalau macam tu kita terus je ke rumah makcik. Nanti lewat pulak saya balik ke rumah.”

“Jomlah cikgu. Nanti cikgu ikut kami dari arah belakang ok.”

“Baik makcik.”

Selepas itu saya masuk kembali ke dalam kereta. Menunggu Makcik Leha untuk memulakan perjalanan ke rumah mereka.

Simpang ke rumah Makcik Leha

Dari simpang tersebut kami mula memasuki laluan berbatu kecil. Di sekeliling kami cuma ada belukar dan juga anak pohon hutan setinggi pohon kelapa muda yang rendang.

Sinar rembulan dan kerdipan bintang mula tertutup di antara celah-celah belukar dan pokok-pokok hutan tadi.

Saya mula dapat merasakan yang perjalanan kami ke rumah Makcik Leha diselimuti misteri. Di sekeliling bahagian luar jalan seolah-olah tidak mengalu-alukan kehadiran saya.

Sunyi, sepi, gelap dan menakutkan. Sukar untuk jiwa saya merasa tenang dan tenteram.

Saya cuba untuk memujuk hati saya dengan membaca beberapa ayat al-Quran. Agar hati saya akan terus terikat kepada Allah. Tuhan yang Maha atas segala-galanya.

Setelah beberapa minit perjalanan, akhirnya kami sampai juga di perkarangan halaman rumah Makcik Leha. Kabus malam mengganggu sedikit pandangan mata saya. Dingin malam juga menyucuk perlahan hingga kedinginan malam itu menusuk hingga ke liang-liang roma.

Saya matikan enjin kereta dan berjalan ke arah kereta Makcik Leha yang diletakkan sedikit ke depan. Betul-betul di hadapan pintu rumah mereka. Saya perhatikan sekeliling dan juga rumah Makcik Leha. Ternyata rumah Makcik Leha bersambung dengan rumah abangnya.

Menurut Makcik Leha rumahnya dan rumah abangnya pada asalnya adalah sebuah rumah saja. Beberapa tahun lepas Makcik Leha dan abangnya telah bersetuju untuk membahaginya menjadi dua bahagian dengan memasang dinding di bahagian tengah rumah.

Dan akhirnya rumah tersebut menjadi dua bahagian yang ditempati oleh dua keluarga. Keluarga Makcik Leha dan keluarga abangnya.

Rumah dua tingkat itu kelihatannya agak usang. Mungkin hampir 50 tahun atau lebih usianya berdasarkan keadaan fizikal rumah tersebut.

“Jemput masuk cikgu. Minta maaf rumah kami agak berselerak. Maklumlah rumah lama.”

Makcik Leha tersenyum memandang saya sambil menjemput saya masuk ke dalam rumah mereka. Anaknya Syikin dan Azman pula masuk terlebih dahulu ke dalam.

“Terima kasih makcik. Tak apa. Biasalah kalau berselerak tu.”

“Duduklah dulu cikgu.”

“Iya makcik.”

Sementara menunggu Makcik Leha dan anak-anaknya mengemas ruang tamu, saya mengambil keputusan untuk melihat-lihat sekeliling ruang tamu rumah mereka.

Ternyata banyak sekali barang-barang lama seperti tombak, keris, dulang, pasu-pasu dan sebagainya.

“Semua ni barang pusaka keluarga kami cikgu. Abang makcik tak minat dengan barang-barang lama ni. Jadi abang makcik serahkan kepada makcik untuk dijaga.”

Saya cuma mengangguk-anggukkan kepala. Saya juga minat untuk melihat barang-barang lama seperti ini. Apabila melihat barang-barang lama, saya pasti teringat akan sahabat saya Cikgu Bohari Wahab.

Beliau mempunyai hobi untuk mengumpul barang-barang lama sebagai koleksi peribadi. Juga menyimpan duit dan syiling-syiling lama.

Apabila teringat akan duit dan syiling-syiling lama ini pula, akan mengingatkan saya kepada impian saya, Cikgu Bohari dan Cikgu Rody untuk membeli ‘metal detector’. Sampai sekarang masih belum kesampaian.

Cuma yang masih wujud sekarang adalah kami tetap menggelar diri kami sebagai ‘Geng Metal Detector’ walaupun tidak pernah langsung kami membeli mesin tersebut dan cerita ini sekadar habis di meja makan kantin di sekolah kami saja.

“Apa pendapat cikgu tentang rumah kami?”

“Cantik makcik. Saya suka semua perhiasan lama ni.”

“Bukan tu maksud makcik.”

“Habis tu kak?”

“Ada hantu tak kat rumah kakak?”

“Mana saya tahu kak.”

“Hmm...”

“Tak apa kak. Lepas ni kita ikhtiar apa yang patut. Ada atau tidak gangguan tu itu kita serah kat Allah. Semua ini Allah nak uji sama ada kita bersyukur ataupun kufur.”

“Baiklah cikgu. Saya ikut cikgu saja mana yang terbaik.”

Di perhati perempuan dari arah dapur

Tengah kami bercerita, saya perasan seperti ada seorang perempuan yang memerhati kami dari arah dapur. Dengan pandangan yang tajam.

Bentuk rupanya agak sedikit samar kerana ditutupi oleh kain tabir yang menutupi ruang dapur keseluruhan. Tiba-tiba saya terkejut apabila lampu di dapur yang tertutup terbuka dengan sendirinya.

“Astaghfirullahal azhim..”

“Kenapa cikgu?”

“Siapa kat dapur kak?”

“Owh...Si Syikin. Makcik suruh dia buatkan air. Makcik tak berani nak masuk. Takut terjumpa lagi dengan...”

“Tak adalah makcik. Kalau makcik awal-awal dah set fikiran makcik macam ni, memanglah lagi senang syaitan nak mempermainkan makcik. Tapi...Berani jugak Syikin ni makcik.”

“Syikin tu memang macam tu cikgu. Dia memang berani. Azman pun macam tu jugak. Cuma makcik ada penakut sikit.”

Makcik Leha kemudian duduk di hadapan saya sambil menyusun lapis meja yang kelihatan senget. Selepas itu dia menyusun majalah dan surat khabar lama yang berselerak di atas lantai di bawah meja. Sedangkan Azman pula mula duduk di atas lantai sambil membelek hpnya.

Tidak lama kemudian Syikin menuruni tangga dan berjalan ke arah kami di meja ruang tamu sambil memperbetulkan kedudukan tudungnya. Mungkin baru keluar dari biliknya.

“Mak, nak buat kopi ke teh?”

“Kopi je. Biar segar sikit badan.”

Syikin kemudian meninggalkan kami dan terus menuju ke arah dapur. Saya mula rasa tidak selesa. Perasaan takut mula muncul dari dalam diri.

Kegelisahan yang muncul pada diri saya mendapat perhatian Makcik Leha yang duduk di hadapan saya.

“Kenapa cikgu? Macam ada masalah je?”

“Memang masalah makcik.”

“Kenapa?”

“Makcik suruh buatkan kopi tadikan?”

“Betul. Cikgu tak suka kopi ke?”

“Bukan tu masalahnya makcik. Tadi makcik suruh siapa buatkan kopi?”

“Syikin. Kenapa cikgu?”

“Sebelum tu Syikin dari mana?”

“Dari tingkat ataslah.”

“Lepas tu?”

“Lepas tu Syikin tanya nak buat kopi atau teh. Makcik suruh buatkan kopi. Lepas tu Syikin terus pergi ke dapur. Itu je.”

“Makcik panggilkan Syikin kejap.”

“Baik cikgu. Syikin...Syikin...Ke mari jap.”

“Baik mak. Kejap...”

Syikin menjawab dengan suara yang tinggi dan kemudiannya berjalan ke arah kami. Kemudian saya meminta Syikin untuk duduk di sebelah saya.

“Syikin dari mana tadi sebelum turun ke bawah ni?”

“Dalam bilik cikgu. Tukar baju. Lepas tu turun kat bawah ni nak masak air.”

Makcik Leha tersenyum memandang ke arah saya. Mungkin merasa pelik dan sedikit lucu apabila melihat telatah saya yang kelihatan tidak keruan.

“Apa yang peliknya cikgu?”

“Tak ada apa-apa makcik.”

“Hahaha...Betullah cikgu. Syikin kan dari tingkat atas tadi.”

“Kalau Syikin tu dari tingkat atas, lepas tu siapa pulak yang ada kat dapur tadi? Kan lepas saya istighfar tadi makcik kata Syikin ada kat dapur tengah buat air sedangkan depan mata kita sendiri yang Syikin baru je turun dari biliknya kat tingkat atas.”

“Astaghfirullahal azhim...A ‘udzubillahi minasy syaitaanir rajim...Baru makcik perasan ustaz. Ada orang lain kat dapur. Itu bukan Syikin cikgu. Syikin ni ha yang tengah duduk di hadapan kita.”

“Jadi, siapakah kat dapur tadi tu?”

“Tak tau cikgu. Hantu mungkin.”

“Sebab itulah saya tanya makcik tadi untuk kepastian.”

“Matilah kita macam ni cikgu?”

“Jangan mati dulu makcik. Apa guna nak mati dulu kalau kita boleh lari.”

“Cikgu jangan lari dulu. Nanti kita lari sama-sama.”

Takut

Saya memandang wajah Makcik Leha. Wajahnya ketakutan dan suaranya tersekat-sekat. Syikin dan Azman pula sekadar memandang ke arah kami. Saya cukup kagum apabila melihat keberanian Syikin dan Azman.

Mereka juga merasa pelik dengan apa yang berlaku. Tetapi tidaklah sampai ke peringkat ketakutan itu mempengaruhi jiwa mereka.

Mungkin bagi mereka itu perkara biasa. Tetapi tidak bagi saya dan Makcik Leha. Sedangkan saya dan Makcik Leha pula terus menerus dalam keadaan ketakutan.

Apa lagi sebelum ini Makcik Leha telah diganggu sosok seorang perempuan yang tinggal bersama dengan mereka di rumah lama ini.

“Macam nilah makcik. Kita tak boleh nak tangguh lagi. Rasanya perlu untuk kita buang apa-apa gangguan yang ada. Kita usahakan dengan memohon perlindungan kepada Allah serta berikhtiar dengan cara yang Allah redha.”

“Baiklah cikgu. Saya ikut saja mana yang terbaik.”

Selepas itu saya meminta kepada Makcik Leha jag berisi air paip. Makcik Leha mengangguk sambil mencuit tangan Syikin untuk menemaninya ke dapur.

Sementara itu saya melakukan solat sunat dua rakaat untuk memohon pertolongan dan perlindungan dari Allah.

Setelah saya selesai solat, Makcik Leha menyerahkan jag berisi air paip kepada saya. Lalu saya bacakan ayat-ayat berikut sambil letakkan jari saya di dalamnya dan mendekatkan mulut saya kepadanya sambil membaca;

“Dengan nama Allah, kami berada di senja ini dengan nama Allah yang tiada sesuatu pun yang dapat menghalangiNya dan dengan keagungan Allah yang tidak dapat dikalahkan dan direndahkan. Dengan kekuasaan Allah Yang Maha Mencegah, kami berlindung dan dengan semua nama-namaNya yang baik kami berlindung dari kejahatan-kejahatan syaitan-syaitan, sama ada dari golongan manusia dan jin. Kami berlindung kepada Allah dari kejahatan segala sesuatu yang menampakkan diri dan menyembunyikan diri, dari kejahatan segala sesuatu yang keluar di malam hari dan bersembunyi di siang hari, dari segala kejahatan sesuatu yang menampakkan diri di siang hari dan bersembunyi di malam hari dan dari kejahatan segala sesuatu yang diciptakanNya, yang kotor dan yang bersih. Kami berlindung dari kejahatan Iblis dan pengikut-pengikutnya dan dari kejahatan segala makhluk yang berada dalam kekuasaanMu. Sesungguhnya Rabbku berada di atas jalan yang lurus. Aku berlindung kepada Allah dengan perlindungan yang dimohonkan oleh Ibrahim, Musa dan Isa, dari kejahatan segala sesuatu yang diciptakanNya, yang kotor dan yang bersih dan dari kejahatan Iblis dan pengikut-pengikutnya dan dari kejahatan segala sesuatu yang membangkang.”

Kemudian saya bacakan Surah As Saffat: 1-10;

“Demi (rombongan) yang bershaf-shaf dengan sebenar-benarnya dan demi (rombongan) yang melarang dengan sebenar-benarnya (dari perbuatan-perbuatan maksiat) dan demi (rombongan) yang membacakan pelajaran. Sesungguhnya Tuhanmu benar-benar Esa. Tuhan langit dan bumi dan apa-apa yang berada di antara keduanya dan Tuhan tempat-tempat terbit matahari. Sesungguhnya Kami telah menghias langit yang terdekat dengan hiasan iaitu bintang-bintang dan telah memeliharanya (sebenar-benarnya) dari setiap yang sangat derhaka, syaitan-syaitan itu tidak dapat mendengar-dengarkan (perbicaraan) para malaikat dan mereka dilempari dari segala penjuru. Untuk mengusir mereka dan bagi mereka siksaan yang kekal. Akan tetapi barangsiapa (di antara mereka) yang mencuri-curi (pembicaraan) maka ia dikejar oleh suluh api yang cemerlang.”

(Kaedah yang saya gunakan ini adalah kaedah yang telah dipetik dari Kitab ‘Al Wabil As Sayyib Minal Kilm At Tayyib’ oleh Ibnu Qayyim Al Jawziyyah. Ia diamalkan oleh Abu An Nadhir Hashim bin Al Qayyim atas nasihat dari Al Muharibi di Kufah, setelah rumahnya diduduki oleh jin. Jin tersebut berkata kepada Abu An Nadhar, “Beralihlah dari kami (tinggalkan rumah ini).” Setelah Abu An Nadhir melaksanakan seluruh kaifiat di atas, jin-jin itu berkata kepada Abu An Nadhir, “Engkau membakar kami, kami akan berpindah dari engkau.”)

Saya meminta kepada Makcik Leha dan kedua anaknya untuk menemani saya naik ke tingkat atas kerana saya perlu untuk melihat ke sekeliling ruang dan bilik di rumah mereka dulu kalau-kalau ada barang-barang yang mempunyai unsur syirik seperi azimat, wafaq dan sebagainya.

Selepas itu barulah menuju ke arah dapur dan ruang tamu untuk melihat-lihat keadaan sekeliling. Saya cuma berharap tidak ada sesiapa yang mengganggu kami nanti.

Juga perempuan yang memerhatikan saya dari tabir jendela tadi.

Kami melangkah dengan berhati-hati. Bermula dari saya, Makcik Leha, Azman dan Syikin. Saya meminta mereka untuk membaca Surah Kursi sepanjang mereka melangkah naik ke atas dan juga sepanjang bersama saya meneliti barang-barang di rumah mereka.

Sesampainya di tingkat atas saya mula memandang ke arah sekeliling. Di tingkat atas ini mempunyai tiga bilik. Bilik Makcik Leha yang terletak betul-betul di tepi tangga, bilik Syikin di tengah dan bilik Azman di hujung sekali.

Saya meminta izin Makcik Leha untuk masuk ke semua bilik. Bermula dari bilik Azman, Syikin dan bilik Makcik Leha. Saya juga meminta mereka untuk menemani saya masuk ke setiap bilik.

“Cikgu...Cikgu masuk saja dulu dalam bilik Azman. Lepas tu bilik Syikin dan lepas tu bilik Makcik. Nanti Azman temankan cikgu. Makcik dan Syikin tunggu cikgu dalam bilik Syikin jelah. Seram juga kalau berdua je kat luar ni.”

“Baik makcik. Saya takda masalah. Asalkan makcik dan anak-anak selesa.”

Saya menjawab sambil tersenyum memandang ke arah mereka. Wajah risau Makcik Leha menceritakan kepada saya betapa dia bingung akan sesuatu.

Mungkin risau dengan apa yang telah dia alami sebelum ini iaitu diganggu oleh perempuan berkulit pucat yang mengejarnya dari tangga hingga masuk ke bilik.

Atau mungkin Makcik Leha lebih selesa di bilik Syikin sambil ditemani oleh anaknya walaupun bilik Makcik Leha cuma terletak di sebelah bilik Syikin sahaja.

Bagi Makcik Leha cuma Syikin dan Azman yang boleh mengurangkan rasa takutnya kerana Syikin memang seorang yang berani.

Saya benarkan Makcik Leha dan Syikin masuk ke dalam bilik Syikin. Menunggu kehadiran kami sebentar lagi. Sementara itu saya dan Azman pula mula masuk ke dalam bilik Azman.

Saya mulakan dengan membaca Surah Al-Fatihah dan dua ayat terakhir dari Surah Al-Baqarah. Sambil itu saya cuba untuk melihat setiap ceruk dan sudut di bilik Azman.

Biliknya agak padat dan penuh dengan barang-barang. Jadi ruang untuk saya bergerak juga terhad.

Suara Makcik Leha

Ketika saya sedang melihat-lihat dan memerhati keadaan sekeliling, tiba-tiba kami dikejutkan dengan suara Makcik Leha dari bilik sebelah.

Sebenarnya tidak ada apa-apa yang berlaku. Cuma Makcik Leha memanggil nama Azman. Mungkin ada keperluan keluarga yang saya tidak perlu tahu.

“Azman...Azman...Datang sini kejap. Azman..”

“Azman, mak kamu panggil tu. Azman pergi jumpa mak kat bilik Syikin. Mungkin ada yang mak nak mintak tolong Azman.”

“Baik cikgu. Saya jumpa mak kejap. Lepas ni saya datang sini balik cikgu.”

“Ok Azman...”

Selepas itu Azman berjalan keluar bilik dan mendapatkan ibunya. Tinggallah saya keseorangan di bilik Azman. Pada ketika itu saya mula rasa tidak selesa. Mungkin kerana keseorangan atau rasa diperhatikan oleh seseorang.

Tetapi saya tidak ambil peduli apa yang berlaku. Saya cuma menunggu di bilik Azman. Sementara menunggu Azman datang saya tidak mahu terus pergi ke bilik Syikin. Mungkin mereka sedang berbincang hal keluarga mereka.

Lalu saya terus menanti kehadiran Azman. Saat-saat seperti inilah timbulnya rasa bosan di dalam diri saya. Berada keseorangan di dalam bilik Azman sambil ditemani dengan rasa takut.

Macam–macam yang saya fikirkan ketika itu. Sehinggalah saya dikejutkan dengan suara panggilan Syikin dan Azman dari tingkat bawah rumah mereka.

“Cikgu...Cikgu...tolong. Mak jatuh...”

Saya terdengar suara Azman memanggil-manggil nama saya. Bila masa mereka turun ke tingkat bawah saya sendiri pun tak tahu. Mungkin ketika selepas Makcik Leha memanggil Azman tadi.

“Innalillahi wa inna ilaihi roji’un..Astaghfirulahal azhim..”

Itu sahaja lafaz yang terkeluar dari bibir saya. Lantas saya keluar dan menjenguk dari tingkat atas sambil memerhati ke tingkat bawah.

"Azman...Syikin...Kamu berdua kat mana? Azman..Syikin..?”

“Kat dapur cikgu. Mak ada ni. Tengah terbaring kat sini. Cikgu turun cepat.”

“Ok. Cikgu turun sekarang...”

Pada ketika itu bermacam-macam perkara yang terbayang di fikiran saya. Mungkin Makcik Leha sekali lagi diganggu perempuan berkulit pucat atau mungkin juga terjatuh ketika sedang menyediakan air minuman. Itulah perkara yang sempat terbayang di fikiran saya.

Tanpa membuang masa saya melangkah turun secepat mungkin. Cuma sebelum itu saya masuk kembali ke bilik Ahmad untuk mengambil beg saya yang saya letakkan di atas katil Azman tadi semasa memeriksa biliknya.

Ditarik sesuatu

Selepas itu saya melangkah keluar dari bilik Azman dan cepat-cepat melangkah untuk menuruni anak tangga.

Pada ketika saya sedang melangkah dan melalui bilik Syikin, tiba-tiba saya rasakan yang tangan saya seperti ditarik dengan kasar oleh sesuatu.

Sehinggakan badan saya juga seperti turut terpelanting masuk ke dalam bilik Syikin yang gelap. Saya tidak tahu apa yang berlaku kerana pada ketika itu kerana saya tidak bersedia untuk menghadapi semua ini melainkan saya ingin pergi ke tingkat bawah untuk membantu Makcik Leha.

Semasa direntap dengan kasar dan ditarik ke dalam bilik Syikin tadi saya telah jatuh terlentang. Tiba-tiba hidung dan mulut saya ditutup dengan kuat.

Sehinggakan saya hampir tidak dapat bernafas. Saya terpaksa juga untuk bergelut dengan tangan tersebut kerana saya perlu untuk bernafas.

Pada ketika itu juga saya sempat memandang ke arah pemilik tangan tersebut. Ternyata itu tangan Azman. Di samping Azman kelihatan juga Makcik Leha yang sedang memeluk Syikin. Saya mula kehairanan dengan apa yang terjadi.

“Cikgu diam saja. Jangan bising. Makcik sendiri pun mendengar apa yang cikgu dengar tadi. Suara tu memang dari tingkat bawah. Suara yang menyerupai suara Azman. Makcik sihat je kat sini. Tak adapun makcik jatuh.”

Ujar Makcik Leha lalu meminta Azman untuk melepaskan kedua belah tangannya dari mulut saya. Pada ketika itu barulah saya melihat wajah kebimbangan dari mereka bertiga.

Mungkin Azman dan Syikin sedikit sebanyak mula mempercayai apa yang dialami oleh ibunya sebelum ini.

“Astaghfirullahal azhim. Lepas tu tadi tu suara siapa?”

“Kami pun tak tau cikgu. Saya pun hampir terpedaya tadi. Kalau Syikin dan mak tak menarik tangan saya masuk ke dalam bilik Syikin ni tadi sudah tentu saya dah turun ke bawah. Tak taulah apa yang akan terjadi lepas tu.”

“Jadi, suara yang memanggil kamu tadi tu bukan suara mak kamulah Azman?”

“Bukan cikgu.”

Lalu saya memandang ke arah Makcik Leha yang sedang ketakutan.”

“Betul cikgu. Itu bukan suara makcik. Tadi masa cikgu dan Azman masuk ke dalam bilik Azman, makcik dan Syikin juga terdengar suara dari tingkat bawah. Betul-betul seperti suara makcik sendiri kata Syikin. Lalu makcik dan Syikin berpandangan sesama sendiri. Masa tu makcik dan Syikin baca apa saja yang kami tau.”

“Alhamdulillah makcik. Allah masih nak selamatkan kita. Nampak gayanya syaitan ni gembira sebab dapat mempermainkan kita. Baiklah. Kita tak ada pilihan lain melainkan berhadapan juga dengan syaitan-syaitan ni.”

“Jadi apa yang perlu kita buat cikgu?”

“Macam ni. Saya akan berikan ‘Inzhar’ (peringatan kepada kaum jin yang mengganggu) dulu. Lepas tu kita kan ikhtiar untuk menghalau gangguan jin at rumah ni dengan izin Allah.”

“Baik cikgu. Makcik ikut saja. Makcik dah tak tahan diganggu macam ni?”

Selepas itu saya meminta mereka bertiga untuk mengikut saya turun ke tingkat bawah. Kami melangkah perlahan keluar dari bilik dan mula menuruni anak tangga satu-persatu.

Pada ketika itu masing-masing dari kami memandang ke sekeliling dan tidak lupa juga menjenguk ke tingkat bawah. Risau juga kalau ada yang menyambut kami dengan lafaz ‘Assalamualaikum..’

Sesampainya di tingkat bawah, tepatnya di ruang tamu. Saya mula melazafkan ‘Inzhar’ tadi sambil berdoa dan menyerah segalanya kepada Allah.

Inzhar

Dengan nama Allah, yang memiliki arasy yang tinggi, yang Maha Membalas segala kejahatan dan kezaliman, yang Menguasai seluruh dan segenap makhluk, yang Menguasai syurga dan neraka, yang Memiliki segala bala tentera di langit dan di bumi dan yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.

Ya ma’syaral jin (wahai kaum jin),

Aku peringatkan kalian yang berada di sini atau yang berada di dalam badan sesiapa sahaja yang ada sini. Allah berfirman;

“Wamaa kholaqtul jinna wan innsa illa liya’ buduun.”

“Dan tidak aku ciptakan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepadaku.” (Surah Adz Dzariyat: 56)

Ya ma’syaral jin,

Aku peringkatkan kalian dengan ayat al-Quran ini untuk beribadah kepada Allah, berserah diri kepada Allah dan berhenti dari menzalimi sesama makhluk Allah.

Peringatan kepada kaum jin

Aku peringkatkan kalian wahai bangsa jin,

Sesiapa sahaja dari kalian yang berada di ruangan ini atau berada di dalam badan sesiapa saja yang ada di sini, sila keluar dari badan orang yang kalian ganggu.

Apa pun alasan kalian, kalian tidak boleh untuk menyakiti manusia dan mencampuri kehidupan manusia.

Sekiranya kalian dari golongan jin Islam, maka bertaubatlah kepada Allah dengan sebenar-benar taubat. Mohon ampun kepada Allah dan kepada orang yang kalian zalimi.

Kemudian keluarlah dan pergilah di surau atau di masjid. Kerana di situ adalah sebaik-baik tinggal kalian. Beribadahlah dan jalanilah kehidupan sebagai seorang Muslim yang beriman.

Semoga Allah menerima taubat kalian dan ibadah kalian.

Dan sekiranya kalian daripada golongan jin fasiq, jin yang zalim atau dari kalangan syaitan. Semoga laknat Allah tetap berada di atas kepala kalian di mana sahaja kalian berada.

Kalian juga perlu untuk keluar dari badan pesakit yang anda ganggu. Pergilah di mana berhala itu disembah. Kerana di situ adalah sebaik-baik tempat tinggal kalian.

Ya ma’syaral jin,

Sekiranya anda diseru melalui sihir, dari azimat-azimat, wafaq-wafaq, dari penjaga diri atau penjaga rumah, dari ilmu persilatan, ilmu kebal atau ilmu batin, dari apa sahaja jenis saka keturunan dan dari apa sahaja kerana diseru oleh hamba-hamba syaitan seperti bomoh, dukun, ahli sihir dan sebagainya, kalian juga wajib untuk keluar. Keluar tanpa syarat.

Putuskan perjanjian kalian dengan mereka dan keluarlah dari badan orang yang kalian zalimi, sebelum laknat Allah menimpa kalian.

Sekiranya turun laknat Allah kepada kalian semua, nescaya tidak akan ada lagi kesenangan selepas itu melainkan siksaan yang pedih untuk selama-lamanya sementara diazab di dalam neraka nanti.

Kemudian saya juga membaca ‘Inzhar’ (peringatan) dari Nabi Sulaiman;

“Aku peringatkan kalian dengan sumpah yang pernah diucapkan Nabi Sulaiman kepada kalian, keluarlah dan pergilah kalian dari rumah kami. Aku sumpah kalian dengan nama Allah, keluarlah kalian dan janganlah kalian menyakiti seorang pun.”

Selepas itu perhatian kami terganggu apabila kami terdengar bunyi sesuatu dari arah dapur. Dengan secara serentak kami memandang ke arah tersebut sambil Makcik Leha terus memeluk kedua orang anaknya.

Mungkin Makcik Leha tidak menyangka bahawa inilah yang sedang berlaku di hadapan matanya sendiri.

Pada ketika itu, suasana di dapur sangat pelik dan menakutkan. Lampu terbuka dan tertutup dengan sendirinya. Bunyi orang berlari dan barang-barang seperti dilanggar dan dicampakkan ke lantai memenuhi gegendang telinga kami.

Kain tabir dapur juga terbuka dan tertutup dengan sendirinya. Dalam keadaan samar-samar kami melihat seperti ada bentuk tubuh badan seseorang yang berdiri memandang kami dari dalam dapur. Cuma ianya ditutupi oleh kain tabir yang bergerak-gerak tadi.

Saya tidak mahu tahu apa yang ada di sebalik kain tabir tersebut. Kerana tidak tahu adalah jawapan yang tepat. Sebab kalau sudah tahu mungkin berbulan lamanya untuk saya melupakan apa yang ada di sebalik semua itu.

Perasaan takut menguasai segenap jiwa dan perasaan kami. Tapi saya tidak boleh kalah kepada semua ini. Kerana keluarga Makcik Leha amat memerlukan pertolongan saya. Dan kami pula memerlukan pertolongan Allah.

Saya menyerah segalanya kepada Allah. Pada saat seperti ni masa semakin suntuk. Entah kenapa saya rasa seperti itu. Saya perlu bertindak segera. Lalu saya berpaling ke arah Azman dan bertanya kepadanya;

“Azman, kamu biasa azankan?”

“Biasa cikgu. Cikgu nak saya azan apa? Azan Sheikh Ali Ahmed Al Mulla atau azan-azan lainnya?”

Terpegun sejenak saya dengan jawaban yang diberikan oleh Azman kepada saya. Mungkin Azman ini seorang yang hebat. Dengan tenang dan yakin dia menyambut permintaan saya untuk melaungkan azan.

“Alhamdulillah. Baiklah Azman. Kamu azanlah kalau kamu selesa dengan cara azan Sheikh Ali Ahmed Al Mulla. Yang penting laungan azan tu. Kamu tunggu di sini. Di ruang tamu ni. Di sini nanti kamu akan azan. Dua tiga kali kalau boleh. Sementara kamu azan cikgu akan renjiskan sekeliling rumah ini dengan air yang dibaca zikir dan bacaan ayat-ayat al-Quran tadi.”

“Kamu tunggu saja di sini. Lepas ni cikgu akan naik ke tingkat atas. Makcik dan Syikin juga tunggu kat sini ok. Kalau ada apa-apa berlaku jangan berpecah dan pergi ke mana-mana. Susah cikgu nak cari nanti.”

“Baik cikgu.”

Azman kemudiannya mengambil kedudukan. Dia berdiri di tengah-tengah ruang tamu sambil badannya mengadap ke arah kiblat.

Semangat anak muda jelas terpampang pada diri Azman. Mungkin Azman merasa tanggungjawab ini perlu dipikul olehnya sebagai anak lelaki.

Laungan azan

Saya meminta Azman untuk berada terus di ruang tamu. Bukannya apa. Kalau mereka lari nanti, tinggallah saya seorang saja di rumah mereka.

Nanti saya sendiri tidak tahu apa yang berlaku. Sekurang-kurangnya kalau mereka ada, perasaan takut itu tidaklah terlalu mendalam.

Selepas itu saya melangkah ke tingkat atas dengan berhati-hati. Saya sempat memandang ke atas dan sekeliling saya.

Bukan senang untuk menghilangkan kerisauan pada jiwa bila keseorangan seperti ini. Apa lagi rasa takut itu memuncak di dalam diri.

Sesampainya saya di tingkat atas, saya mula memberi arahan kepada Azman untuk melaungkan azan dengan suara yang kuat. Agar gema suara azannya akan memenuhi segenap pelusuk rumah Makcik Leha.

Sebaik sahaja Azman memulakan azannya, saya tersenyum sendiri. Menurutnya itulah azan versi Sheikh Ali Ahmed Al Mulla yang dikumandangkan di Masjidil Haram. Tetapi azan Azman sebijik seperti azan P. Ramlee dalam filem Semerah Padi.

Ini kali kedua saya mendengar azan seperti ini. Sebelum ini pernah juga saya ceritakan dalam kisah-kisah yang lain tentang seorang lelaki yang sedang mengumandangkan azannya. Juga sama versinya iaitu versi azan P. Ramlee dan filem Semerah Padi.

Sempat juga saya memandang ke arah Azman yang penuh semangat ketika melaungkan azan. Cuma yang penting Azman juga sanggup untuk membantu saya walaupun sekadar melaungkan azan Semerah Padi tadi.

Cuma saya sendiri tidak tahu sama ada mahu ketawa atau menangis.

Ketika Ahmad melaungkan azannya, saya terus memulakan dengan membaca surah As Shafaat ayat 1-10 dan mula bergegas masuk ke dalam bilik di tingkat atas.

“Demi (rombongan) yang bershaf-shaf dengan sebenar-benarnya dan demi (rombongan) yang melarang dengan sebenar-benarnya (dari perbuatan-perbuatan maksiat) dan demi (rombongan) yang membacakan pelajaran. Sesungguhnya Tuhanmu benar-benar Esa. Tuhan langit dan bumi dan apa-apa yang berada di antara keduanya dan Tuhan tempat-tempat terbit matahari. Sesungguhnya Kami telah menghias langit yang terdekat dengan hiasan iaitu bintang-bintang, dan telah memeliharanya (sebenar-benarnya) dari setiap yang sangat derhaka, syaitan-syaitan itu tidak dapat mendengar-dengarkan (perbicaraan) para malaikat dan mereka dilempari dari segala penjuru. Untuk mengusir mereka dan bagi mereka siksaan yang kekal. Akan tetapi barangsiapa (di antara mereka) yang mencuri-curi (pembicaraan) maka ia dikejar oleh suluh api yang cemerlang.”

Saya merenjis air tadi bermula dari bilik Azman dan diikuti dengan bilik Syikin. Lalu diikuti dengan bilik Makcik Leha. Perasaan takut sentiasa menemani saya pada ketika itu kerana saya tidak tahu apa yang akan saya hadapi.

Tetapi semua itu tidak mematahkan niat saya untuk terus merenjis air ruqyah di kesemua bilik mereka sebagai suatu ikhtiar untuk menghilangkan gangguan jin ini.

Lagi pun dari tingkat bawah sayup-sayup terdengar suara Azman melaungkan azannya sehingga saya merasa nyaman dan selesa dan rasa takut itu semakin berkurangan.

Setelah selesai merenjis ketiga-tiga bilik di atas, lalu saya turun ke tingkat bawah dan mula merenjis ke seluruh ruang tamu sehingga selesai. Untuk seketika saya berhenti sebentar dari merenjis air ruqyah.

Apabila Azman selesai melaungkan azan, saya meminta Azman, Makcik Leha dan Syikin untuk bersama saya pergi ke dapur.

Pada mulanya mereka agak keberatan kerana mereka sendiri telah melihat apa yang berlaku sebentar tadi. Apatah lagi masing-masing sempat melihat kelibat seorang perempuan yang sedang memerhatikan tadi di sebalik tabir jendela dapur.

“Makcik tak nak masuk cikgu. Makcik takut. Lagipun perut makcik tiba-tiba sakit.”

“Baiklah makcik. Makcik tunggu kat sini sorang-sorang. Selepas selesai urusan di dapur nanti baru kami pergi ke ruang tamu.”

“Hehehe...Tak apalah cikgu. Tak jadi. Ok pulak rasanya perut makcik.”

Makcik Leha memandang saya dengan senyuman. Sebenarnya Makcik Leha takut untuk masuk ke dalam dapur setelah apa yang dia alami sebelum ini. Oleh kerana tiada pilihan jadi Makcik Leha terpaksa juga mengikuti kami.

Sedangkan sebenarnya sayalah yang takut. Sebab itulah saya mengajak ke semua dari mereka pergi ke dapur untuk menemani saya.

Kalau sorang-sorang saya tak akan masuk sebab saya takut kalau dah masuk nanti saya pula tak akan keluar dan rahsia ini saya simpan hingga sekarang.

Kemudian kami melangkah bersama-sama menuju ke bahagian dapur. Tabir jendela berada di hadapan kami. Di situlah tadi kami memandang bentuk dari seorang perempuan yang sedang memerhatikan gelagat kami.

Makcik Leha, Azman dan Syikin berada di belakang saya. Saya mengambil masa juga untuk masuk.

Cuma sebelum itu saya jeling-jeling juga di dalam bahagian dapur dan kebetulan pula lampu dapur telah kembali terbuka.

“Cikgu, masuk cepat.”

Makcik Leha mula menolak saya perlahan-lahan dari arah belakang. Saya menjadi tidak selesa. Kalau ikut kehendak hati saya, ingin juga saya tarik tangan Makcik Leha dan mengikat kedua belah tangannya sekuat hati.

Lalu menghulurkan jurus ‘Smack Down’ di bahagian tengkuk dan menolak Makcik Leha masuk ke dalam dapur dahulu. Kemudian saya berlari ke luar rumah.

Biar Makcik Leha berjumpa dengan perempuan di sebalik tirai tadi sambil menghulurkan salam persaudaraan dan air mata.

Saya tersenyum sendiri memikirkan apa yang saya bayangkan tadi.

Walau bagaimanapun perasaan takut masih lagi menapak di dalam jiwa saya. Saya meminta mereka bersama-sama untuk membaca surah Kursi sebanyak mungkin untuk menghilangkan rasa takut.

Selepas itu kami masuk ke dalam dapur perlahan-lahan. Semasa berada di dalam dapur kami terkejut apabila melihat kerusi dan meja makan terbalik.

Paip air singki terbuka dan peralatan memasak seperti periuk dan kuali bertaburan di atas lantai.

Saya segera meminta Azman untuk mengumandangkan azan sekali lagi. Semasa Azman mengumandangkan azannya, saya terus merenjis air ruqyah tadi di sekeliling dapur.

Sehinggalah apabila berada di pintu keluar rumah di bahagian dapur saya melihat sesuatu benda yang tergantung di atas palang pintu.

Azimat

Saya teruskan dulu merenjis air ruqyah tersebut sehingga selesai. Dan setelah itu saya berjalan kembali ke arah palang pintu tadi lalu mengambil benda tersebut. Apabila saya belek dan saya perhatikan ternyata itu adalah sebuah azimat berbentuk segi empat tepat berwarna merah.

“Ini untuk apa makcik?”

“Makcik pun tak tau cikgu. Benda ni suami saya yang letak dulu. Dia kata untuk menjaga rumah dan kami sekeluarga.”

Agak lama juga saya merenung azimat tersebut. Kemudian saya memandang mereka bertiga sambil menjelaskan bahawa di dalam Islam penggunaan azimat ini adalah haram di sini agama Islam.

Lalu saya menjelaskan kepada mereka sebuah hadis dari Rasulullah yang berbunyi;

“Dari Zainab binti Abdullah bin Mas’ud r. anhum, dari Abdullah diriwayatkan bahwa ia berkata: Aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda:

“Sesungguhnya jampi-jampi, azimat dan tiwalah adalah syirik.” Zainab bertanya: “Kenapa engkau berkata demikian? Demi Allah, dahulu mataku pernah tertimpuk. Aku berbolak-balik datang menemui seorang Yahudi yang menjampi-jampiku. Apabila ia menjampiku, aku merasa senang.” Abdullah menanggapi: “Itu adalah amalan syaitan. Syaitan yang menusuk-nusuk dengan tangannya. Bila dia menjampi anda, syaitan itu menghilangkannya. Sebenarnya cukup bagi anda mengucapkan yang diajarkan oleh Rasulullah SAW;

“Adzhibil ba’ sa Rabban naas, isyfi antasy Syafi, laa syifaa a illa syifa uka, syifaa un laa yughadiru saqaman.”

“Hilangkanlah penyakit ini wahai Rabb sekalian manusia. Sembuhkanlah, sesungguhnya Engkau Yang Maha Menyembuhkan

Tidak ada kesembuhan selain kesembuhan dariMu, kesembuhan yang tidak meninggalkan lagi rasa sakit.”

(HR. Abu Dawud, no. 3883 dan Ibnu Majah, 3530) Hadits itu disahihkan oleh Al Albani dalam Silsilah Ash Shahihah (331) dan (2972)

Selepas itu saya membuka azimat tersebut sambil membaca surah Al-Fatihah dan surah Kursi berulang kali lalu meniupkan ke arah azimat tadi lalu membakarnya di atas dapur.

Selepas azimat itu terbakar, sekali lagi kami dikejutkan dengan bunyi suara perempuan menjerit di tengah-tengah dapur.

Hampir-hampir saya memeluk Makcik Leha yang kebetulan pada ketika itu berdiri di sebelah saya kerana terlaku takut dan terkejut.

Kami semua terdiam. Sambil memandang ke arah sekeliling dapur. Saya minta kepada mereka untuk terus membaca surah-surah dari al-Quran. Setelah beberapa ketika, akhirnya suara tersebut hilang secara perlahan-lahan.

Dan alhamdulillah, saya melafazkan syukur kepada Allah sambil diikuti oleh mereka bertiga. Lalu saya jelaskan kepada mereka;

“Makcik, Insya-Allah gangguan di rumah makcik akan hilang. Apa yang berlaku pada malam ini ada petunjuk dari Allah bahawa apa-apapun yang terjadi di rumah makcik sebelum ini mungkin disebabkan oleh azimat tadi.

Kalau tidak pun syaitan sengaja mengganggu kita dengan cara apa yang makcik sekeluarga alami, maka syaitan akan mengganggu dengan cara mewujudkan suasana permusuhan di antara ahli keluarga, rasa benci, pergaduhan, kebencian, dengki dan sebagainya.

Sebab itulah Islam melarang kita untuk menyimpan azimat seperti ini kerana sabda Rasulullah;

“Barang siapa yang menggantungkan (hati) pada tamimah (azimat), maka Allah tidak akan menyelesaikan urusannya. Barang siapa yang menggantungkan (hati) pada kerang (untuk mencegah dari ‘ain, iaitu mata hasad atau iri), maka Allah tidak akan memberikan kepadanya jaminan” (HR. Ahmad 4: 154. Syaikh Syu’aib Al Arnauth mengatakan bahwa hadis ini hasan)

“Minta maaf cikgu. Makcik benar-benar tak tahu tentang azimat ni. Makcik ingatkan boleh disimpan atau digantung seperti biasa untuk mengelakkan gangguan syaitan dan manusia.”

“Tak apalah makcik. Kalau kita tak tahu maka kita tak berdosa. Yang berdosanya kalau kita tahu tapi kita masih lagi menyimpan dan mempercayainya. Saya rasa urusan saya sudah selesai makcik. Saya nak balik dulu. Hari dah lewat. Saya terpaksa balik sendiri lepas ni.”

“Baiklah cikgu. Terima kasih banyak-banyak atas pertolongan cikgu. Hanya Allah dapat membantu.”

“Sama-sama makcik. Semoga Allah memberkati apa yang kita usahakan. Amin.”

Selepas itu saya berjalan ke ruang tamu dan menuju ke pintu. Saya kemudiannya meminta Makcik Leha dan kedua orang anaknya menghantar saya ke simpang jalan besar. Dengan asalan saya tak tahu jalan untuk keluar.

Sedangkan sebenarnya saya tidak berani untuk berjalan sendirian di laluan dari rumah mereka menuju ke simpang jalan besar. Nanti ada saja yang ingin menumpang saya.

Lagi pula saya masih lagi teringat lagi akan bayangan perempuan di sebalik tabir jendela tadi.

Hingga sekarang saya masih tidak dapat melupakan bayangan perempuan tersebut..

**********

Pada suatu malam, lebih kurang pukul 11 malam. Kebetulan Makcik Leha sedang terbaring di dalam bilik. Matanya mula mengantuk. Mungkin penat kerana seharian membersihkan seisi rumah lama mereka.

Apabila matanya sudah tertutup, tiba-tiba hpnya berdering. Makcik Leha segera membuka matanya lalu memerhati pada skrin hpnya. Makcik Leha merasa kehairanan.

“Hello. Ini siapa?”

“Leha, ini abang. Apa Leha sudah tidak cam suara abang lagi?”

“Tidak, kau bukan Abang Leman. Abang Leman dan meninggal.”

“Hehehe...Apa orang yang meninggal tidak dapat kembali ke dunia nyata? Untuk bertemu sang kekasih hatinya

“Tidak...Tidak...Jangan ganggu aku...Tidak...”

**********

Tok...Tok...Tok...

“Mak...Mak kenapa? Mak...”

“Hehehehe...Mak tiada apa-apa. Kamu tidurlah...”

“Tapi kenapa mata mak merah? Kenapa kulit mak pucat? Apa mak sakit? Kenapa di bawah mata mak gelap je?”

“Mak tiada apa-apa nak. Mak cuma lapar. Sepertinya sudah lama mak tidak makan sebanyak yang mak mahu. Juga menghirup udara segar. Selama ini mak cuma bersembunyi di dalam beg.”

“Apa mak? Syikin tak dengar?.”

“Hehehehehe...Tiada apa-apa nak. Tidurlah. Jangan sampai kamu diganggu oleh perempuan berkulit pucat itu lagi. Kerana sekarang...Dia juga sudah ada di sini...”

**********

“Dan sungguh jika kamu bertanya kepada mereka: ‘Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?’, niscaya mereka menjawab: “Allah”. Katakanlah: “Maka terangkanlah kepadaku tentang apa yang kamu seru selain Allah, jika Allah hendak mendatangkan kemudaratan kepadaku, apakah berhala-berhalamu itu dapat menghilangkan kemudaratan itu, atau jika Allah hendak memberi rahmat kepadaku, apakah mereka dapat menahan rahmatNya?. Katakanlah: “Cukuplah Allah bagiku”. Kepada-Nyalah bertawakkal orang-orang yang berserah diri.” (QS. Az Zumar: 38)

NANTIKAN BAHAGIAN AKHIR

Sumber: Facebook Kisah Pengalaman Hidup Kami

- Ustaz Malik atau nama sebenarnya Malik Faisal Abdul Wahab merupakan seorang Guru Bimbingan dan Kaunseling di SK Kampung Jepak, Bintulu, Sarawak

ARTIKEL BERKAITAN:

BAHAGIAN AKHIR

Guru Bimbingan dan Kaunseling buat ini bila terjumpa beg berwarna hitam di rumah Makcik Leha

ARTIKEL MENARIK:

Tajau usia 500 tahun perlu dimusnahkan..Ustaz Malik mahu Aki jujur bercerita dan ini yang berlaku

Ustaz Malik, Ustaz Saif cerita hal sebenar 2 beradik ganggu Laila dan ajak ke Pantai ABF waktu malam

Ternampak kelibat menakutkan depan rumah..Ustaz Malik terus diganggu

Tangisan bayi pada tengah malam buat Ustaz Malik cari pemilik sebenar, rupa-rupanya suara itu...

Bahagian akhir kisah kembar Ahmad buat Ustaz Malik buka mulut siapa sebenarnya yang suka menganggu