SEBERANG JAYA - Pendidikan berteraskan teknologi abad ke-21 sememangnya amat penting dalam memastikan suasana pendidikan lebih maju dan memberangsangkan serta tidak terlepas dan tertinggal daripada peredaran zaman.

Lantaran itu, Bahagian Pendidikan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) mengambil inisiatif menerapkan teknologi alaf 21 dalam sistem pendidikannya.

Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang Nazzer Abdul Hamid berkata, keperluan teknologi dalam pendidikan merupakan antara agenda serius dalam membuka tirai pendidikan bagi tahun ini.

"Pertamanya kita menerapkan teknologi bermula daripada guru baik daripada guru Kafa, guru sekolah menengah agama rakyat, sekolah rendah agama Rakyat sehinggalah ke pelajar.

"Bagi golongan pendidik kita menyerapkan teknologi pendidikan melalui seminar, kursus yang dijalankan dan insya-Allah, ia akan dilaksanakan juga kepada pelajar," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian selepas menghadiri Majlis Menandatangani Kontrak Guru Menengah Agama Rakyat, Sekolah Rendah Agama Rakyat dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan di Ummah Hall di sini, semalam.

Katanya, dalam masa sama pihaknya juga mengguna pakai sistem teknologi terkini dalam temuduga untuk guru Kafa.

"Mulai tahun ini, kita akan menggunakan satu aplikasi yang diberi nama Quizziz untuk ujian kompetensi bagi guru Kafa, dan dalam temuduga guru Kafa.

"Sebelum ini kita menggunakan ujian bertulis, namun selaras perkembangan teknologi terkini, semua temuduga akan mengguna pakai sistem ini," katanya.

Menurutnya, dalam masa sama teknologi turut diterapkan dalam pengajaran dan pembelajaran secara berperingkat.

"Kita dalam perancangan untuk memasang wifi di sekolah Kafa, dan perkara ini telah dicadangkan dan dibawa ke peringkat selanjutnya.

"Ia merupakan persediaan untuk guru menggunakan buku rancangan mengajar secara digital yang bakal dilaksanakan tidak lama lagi," katanya.

Jelasnya, perubahan ke arah pendidikan berteknologi di institusi pendidikan agama di negeri ini selaras dengan hasrat untuk memastikan ia selari dengan perkembangan teknologi semasa.

"Kita mahukan guru dan pelajar sedia dengan perkembangan teknologi semasa dan masa sama tidak ketinggalan dalam arus perkembangan terkini.

"Ada yang telah dilaksanakan, dan ada yang dalam proses dan bakal dilaksanakan secara berperingkat," katanya.

Dalam pada itu, majlis menandatangani kontrak guru sekolah menengah agama rakyat, sekolah rendah agama rakyat dan sekolah agama bantuan kerajaan di Ummah Hall di sini semalam dihadiri Yang di Pertua MAINPP, Datuk Abdul Malik Abdul Kassim serta Ketua Bahagian Pendidikan JHEAIPP Rosli Othman.

Sementara itu kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh pada 8 November tahun lalu, Hanya guru Kafa yang punya kelayakan ini akan diserap ke jawatan tetap pada Mac tahun hadapan.

Berdasarkan artikel itu seramai 5,000 guru Kafa yang berkelayakan akan diserap pada Mac tahun ini.

Taklimat khas telah diberikan kepada pengamal-pengamal media mengenai Pelaksanaan Pentaksiran Tahap Satu, yang akan dilaksanakan mulai tahun 2019, semalam, 19 Disember 2018.