JIKA selebriti lain rancak menjana pendapatan sampingan mereka menerusi IG Review dengan mempromosikan pelbagai produk, pelakon dan pengarah, Amat Asyraf pula sebaliknya.

Semenjak lebih dua  bulan lalu, Amar tampil membuat review pelbagai jenis makanan di laman Instagram miliknya yang mempunyai 492,000 pengikut itu.

Bagaimanapun Amar yang bakal beraksi dalam teater Yeop: Tribut Syed Alwi pada hujung Disember ini tidak mengenakan sebarang bayaran untuk review yang dibuat, sebaliknya hanya meletakkan beberapa syarat sebagai tanda komitmen.

“Ramai yang ingat review tersebut berbayar, tetapi sebenarnya tidak. Saya tidak pernah mengenakan sebarang bayaran, biarpun ada di antara peniaga ini mahu berbuat demikian.

“Saya hanya meletakkan beberapa syarat sebagai tanda komitmen seperti meminta mereka menghantar makanan yang mereka jual dalam kuantiti tertentu ke set penggambaran yang melibatkan saya.

“Niat saya ikhlas untuk membantu mereka. Pada mulanya saya hanya buat sekali-sekala sahaja, tetapi apabila semakin ramai yang mahu saya bantu mempromosikan makanan jualan mereka, saya terpaksa pilih yang terbaik,” kata Amar.

Tambah Amar, dia cuba untuk membuat review dengan jujur demi mengelakkan pengikut di laman Instagramnya merasa tertipu.

“Setiap review yang saya buat adalah berdasarkan pandangan jujur saya. Saya tak naklah cakap saja-saja semata-mata nak suruh orang beli kerana boleh dianggap sebagai menipu.

“Alhamdulillah setakat ini semuanya berjalan lancar dan saya tumpang seronok bila peniaga-peniaga ini berkongsi kegembiraan mereka dengan memberitahu jualan mereka makin laku selepas saya buat review.

“Saya rasa ia bukan sahaja kerana review saya, tetapi juga kerana keberkatan mereka berkongsi makanan tersebut dengan menjamu rakan-rakan di set penggambaran secara percuma, sebagaimana syarat review saya,” kata Amar.

Meski ada yang rakan-rakan yang mencadangkan Amat mengenakan bayaran memandangkan masa yang diluangkan untuk review tersebut, termasuk aktiviti menyunting video yang dibuat dengan begitu teliti, Amar tetap dengan pendiriaannya.

“Apalah sangat dengan buat video dan edit yang tak seberapa tu. Saya buat ikhlas dan tak mengharapkan apa-apa.

“Gembira dapat tolong orang. Apatah lagi ada di antara peniaga yang minta saya review tu adalah peniaga kecil yang baru memulakan perniagaan, selain ibu tunggal yang mencari rezeki dengan berniaga,” ujar Amar yang bakal menimang anak kedua tidak lama lagi ini.