PENYANYI nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza berkata dia kini sedang diet untuk persiapan konsert berskala antarabangsa pada tahun depan.

Siti Nurhaliza atau Tok Ti percaya kondisi untuk stamina yang baik perlu dititikberatkan agar dapat memberikan persembahan yang terbaik.

"Setiap penyanyi yang akan mengadakan konsert, kesihatan adalah perkara penting yang perlu diutamakan. Itu yang saya lebih risaukan.

"Dari segi pemakanan dan latihan senaman sudah pun saya mulakan. Ada perubahan pada berat badan saya," katanya berat ideal baginya 60 kilogram.

[ARTIKEL BERKAITAN: Siti Nurhaliza terima anugerah Tourism Icon of The Year]

Tok Ti ketika ditemui pada majlis sidang media di Shangri-La Hotel, Kuala Lumpur, berkata, kepada peminat ini pastinya berita baik setelah sekian lama menunggu projek terbaharu.

"Hari ini sudah terjawab yang mana saya akan mengadakan konsert bermula tahun depan.

"Buat peminat saya sudah boleh kumpul duit kerana ini adalah momen yang anda semua nantikan, jadi terimalah Datuk Seri Siti Nurhaliza On Tour," katanya.

Konsert Tok Ti dijadualkan bermula 21 Februari 2019 di Istora Senayan, Jakarta diikuti 2 Mac 2019 di Singapore Expo, Singapura dan di Axiata Arena, Kuala Lumpur.

Lebih menarik, konsert ini akan diteruskan di Royal Albert Hall London pada 21 April 2019.

Tiket bermula serendah RM105, RM155, RM255, RM355, dan RM495 serta RM1295.