PELAKON Uqasha Senrose mengakui berdebar menunggu saat dia dan keluarga berangkat ke Tanah Suci untuk mengerjakan ibadah umrah pada 26 Disember sehingga 6 Januari ini.

Menurutnya, sukar untuk menggambarkan perasaan sebenar yang dirasainya kerana ini merupakan pengalaman pertama ke sana.

“Macam-macam rasa ada, risau, takut, gementar dan sebagainya kerana ini merupakan pengalaman pertama saya mengerjakan umrah.

“Tapi setelah membuat persiapan yang secukupnya, termasuk mengikuti kursus mengerjakan umrah, barulah saya rasa OK sikit,” akuinya jujur.

Akui Uqasha atau nama lengkapnya Nik Zaris Uqasha Nik Sen, 26, hatinya terbuka untuk mengerjakan umrah pada tahun ini disebabkan galakan daripada ibunya yang bersungguh-sungguh mahukan dia dan adik-adiknya, Nelydia Senrose dan Raisya Rizrose ikut serta.

“Sebenarnya mama dah ajak banyak kali buat umrah, tapi sebelum ini saya rasa belum bersedia dan sering memberikan alasan sibuk dengan penggambaran.

“Tahun ni mama sekali lagi ajak buat umrah. Kata mama, kalau boleh pergi bercuti sana sini, kenapa tak boleh pergi umrah. Duit ada pergi sahajalah, bukan susah sangat pun.

“Bila fikir balik, betullah apa mama cakap tu. Biarpun mengambil sedikit masa, saya akhirnya bersetuju untuk menyertai mereka dan cuba mengosongkan jadual kerja lebih awal untuk tujuan ini,” ujarnya ketika ditemui pada sesi fotografi sitkom Spanar Jaya X di Sri Pentas pada Isnin.

Berkongsi tentang doa yang ingin dipohon ketika berada di Tanah Suci nanti, kata Uqasha, dia mahu mendoakan yang terbaik buat dirinya.

“Saya mahu berdoa agar bertemu jodoh baik, kesihatan yang baik dan tentunya menjadi insan yang lebih baik selepas ini,” luahnya.

Ditanya tentang jangkaan peminat terhadap penampilannya selepas pulang mengerjakan umrah kelak, kata Uqasha, dia tidak mahu memikirkan berkenaan perkara tersebut kerana tumpuannya hanya untuk ibadah.

“Buat masa ini saya tidak mahu fikir tentang apa yang orang nak cakap tentang penampilan atau perubahan diri saya selepas pulang umrah nanti.

“Saya tak nak buat sesuatu atas dasar apa orang cakap, nanti jadi macam dulu. Cuma saya berharap untuk menjadi insan yang lebih baik selepas ini," katanya.