BAGI sesetengah individu, kegagalan rumah tangga yang pernah berlaku terhadap dirinya ataupun insan yang rapat dalam hidupnya membuatkan seseorang itu fobia untuk kembali membina mahligai cinta.

Namun tidak pada pelakon bertubuh genit, Wan Sharmila Wan Muhamed yang bersedia membuka pintu hati pada lelaki yang benar-benar ikhlas menerima dirinya.

Bagaimanapun jelas wanita berusia 37 tahun ini, setakat ini dia masih lagi sendiri dan tidak pernah terasa hati apabila sering diajukan soalan mengenai teman lelaki mahupun suami.

"Buat masa ini saya masih single, kadang-kadang kat set ramai juga krew nak tolong carikkan.

"Walaupun orang selalu tanya bila saya nak berkahwin semula, saya rasa soalan itu seperti berbalik kepada diri saya sendiri.

"Malah saya pernah bergurau dengan beberapa pelakon senior, agaknya sampai job (penggambaran) ke berapalah baru dapat ajak mereka ke kenduri kahwin saya.

"Saya tak pernah tutup pintu hati, tapi mungkin jodoh saya belum sampai," ujarnya kepada Sinar Harian.

Ditanya tidakkah ada mana-mana lelaki termasuk suami orang mendekatinya, Wan Sharmila tidak menafikan mahupun mengiyakan.

Malah ujarnya, dia juga melihat latar belakang seseorang lelaki itu dan tidak sesekali mengambil risiko untuk berkahwin dengan lelaki yang sudah diketahui 'belangnya'.

"Kalau dah terang-terang tahu dia siapa, saya tak mahulah ambil risiko. Rupa itu datang nombor dua.

"Cuma bila bercakap mengenai poligami, bagi saya isu ini sensitif. Mungkin pendapat yang saya katakan ini, ada yang tidak bersetuju.

"Mesti akan ada yang cakap, bolehlah saya kata begitu, kerana tak kena pada batang hidup saya sendiri.

"Bagi saya bila ada suami orang mendekati, kenapa kena salahkan perempuan? Padahal lelaki itu yang terkejar-kejarkan perempuan lain.

"Kita kena lihat dan tahu situasi kedua belah pihak dan jangan cepat menilai," ujarnya.

Tambah wanita berusia 37 tahun ini, jika ada mana-mana suami orang yang layak dan mampu, dia sedia mempertimbangkan untuk berkawan.

"Kita pun tahu antara syarat untuk seseorang lelaki berpoligami haruslah adil, mampu dan layak. Kalau cukup syarat itu, boleh gembirakan kedua belah pihak, direstui oleh isterinya, saya rasa boleh difikirkan dan dipertimbangkan.

"Saya sendiri pernah dengar syarahan agama yang mengatakan, mana-mana lelaki yang memilih untuk menikahi ibu tunggal atau janda, lelaki itu mendapat pahala.

"Tapi kalau saya tersalah cakap atau tersalah tafsir, saya minta maaf," katanya jujur.

Bagaimanapun ujar pelakon yang bakal muncul menerusi drama Senafas Rindu ini, dia tidak menafikan ada wanita yang mendekati suami orang kerana niat yang tidak baik.

"Tak dinafikan, kadang kala ada yang nak suami orang ni jenis yang lupa daratan, sahaja nak mengedik dan sebagainya.

"Kalau ada yang macam ni, kena check semulalah niat dan kena nilailah betul-betul.

"Bagi saya, ramai je di luar sana yang berpoligami, ada yang berkahwin lebih dua orang tapi masih mampu membahagiakan semua isternya.

"Cuma janganlah nilai saya hanya mahukan suami orang. Sesiapa sahaja yang mampu menjaga saya, saya sedia mempertimbangkan," akhirinya.

Wan Sharmila pernah mendirikan rumahtangga dengan Fazli Bahrom pada tahun 2007 namun perkahwinan mereka tidak kekal lama dan bercerai pada 23 Oktober 2009.