"TERIMA kasih tidak terhingga kepada semua yang masih mendengar lagu-lagu Slam dan mengundi di carta radio... Slam sudah lebih 25 tahun...".

Itu ucapan yang diungkapkan oleh Shah Nizam bin Abdul Halim atau lebih dikenali sebagai Shah Slam di Instagram miliknya.

Shah kelihatan bersama Zamani menyambut ulang tahun kumpulan itu cara bersederhana di sebuah restoran di sini.

Sememangnya populariti yang diraih mereka tidak terbatas dalam negara sahaja malah dikenali di Indonesia, Brunei dan Singapura.

Popular dengan karya lagu Gerimis Mengundang sekitar tahun 90an,lagu 'evergreen' itu masih popular sehingga kini berbanding lagu baharu yang lebih moden.

Mengapa tidak, ada lagu yang benar-benar mengusik jiwa, ada lagu yang membawa kepada kesedihan membuatkan lagu kumpulan ini terus diminati pelbagai peringkat usia.

Ditambah pula, kelunakan vokal penyanyi Slam, Zamani antara faktor penyumbang kejayaan kumpulan tersebut.

Dalam pada itu, ucapan Shah telah menarik perhatian sebilangan besar netizen yang turut berkongsi kegembiraan kerana kejayaan mempertahankan kumpulan berkenaan.

Menerusi rakaman itu, Shah juga berhasrat untuk mengadakan konsert reunion secara besar-besaran bagi meraikan ulang tahun mereka.

Zamani juga sedia maklum tentang cadangan tersebut.

Slam dianggotai oleh Zamani, Shah, Ajak, Lili, Man dan Eddie.