PELAKON drama bersiri popular Gerak Khas, Ruzzlan Abdullah Shah atau Lan Cina dilaporkan telah meninggal dunia pada Jumaat.

Berita tersebut dikongsikan rakan-rakan pelakon drama tersebut menerusi laman Instagram masing-masing yang turut meluahkan rasa kesedihan atas permergian pelakon yang cukup dikenali menerusi watak Detektif Wong itu.

Pengarah dan pelakon, Syamsul Yusof yang banyak bekerjasama dengan Allahyarham turut terkesan dengan kehilangan Allahyarham yang disifatkan sebagai seorang yang baik hati itu.

“Arwah seorang insan yang sangat baik pada aku, sentiasa menyokong dan banyak beri kata-kata  semangat. Kami pernah rapat. Selalu bersembang tentang ujian kehidupan dan nasib di akhirat.

“Aku sugul. Waktu menatap wajah beliau buat kali terakhir tadi, beberapa sahabat menangisi permergiannya. Aku yakin abang Lan baik dengan semua kawan-kawan. Kerana itu ramai sahabat yang hadir untuk solatkan dan iringi jenazah ke kubur.

“Jika Allah izin, kita akan bertemu kembali di tempat yang lebih baik abangku. Ya Allah, ampunkanlah abang Lan. Ampunkanlah kami semua ya Allah.Tempatkanlah kami di kalangan orang-orang yang Engkau sayang ya Rob,” tulis Syamsul.

Sementara itu, salah seorang pelakon Gerak Khas, Salina Saibi juga berkongsi kesedihan yang sama, malah turut meluangkan masanya memberi penghormatan terakhir buat Allahyarham dengan mengiringinya sehingga ke Tanah Perkuburan.

“Tengok abang Kumar usung jenazah arwah dan bersama-bersama masuk saf solat untuk jenazah. Sebagai penghormatan untuk seorang sahabat. Ya kita semua rapat sangat dalam Gerak Khas.

“Arwah seorang abang yang sangat baik, caring dan pemurah. Banyak sangat kenangan kami.

“Tenanglah Abang Lan di sana. Semoga ditempatkan di kalangan orang yang soleh dan beriman. Kehilangannya sangat terasa,” luah Salina.

Bagaimanapun punca kematian Allahyarham tidak dinyatakan. Sebagai menghormati pemergian Allahyarham juga, RTM telah membatalkan siaran drama tersebut untuk episod semalam dan diumumkan menerusi Instagram @tv2_rtm.

Salam takziah buat seluruh keluarga Allahyarham, semoga ditempatkan di kalangan orang yang beriman.