TAHUN 2019 bermakna genaplah 20 tahun penglibatan penyanyi Lan Solo atau nama sebenarnya Mohd Razlan Mohamed Yusof, 33, dalam industri seni tanah air.  

Bermula sebagai penyanyi berkumpulan dan kini genap setahun bergerak secara solo, Lan terus melangkah laju ke hadapan, tidak mahu memandang ke belakang lagi.  

Baginya, banyak peluang yang harus direbut yang sebelum ini tidak diperolehi sepenuhnya.  

Justeru, bagi meraikan angka bermakna tersebut, satu persembahan pentas akan diadakan khas untuk para peminat yang menyokong perjalanan karier seninya.  Bermula dari zaman kanak-kanak hingga kini, Lan mahu ke peringkat yang lebih tinggi.  

Oleh itu, bertepatan dengan matlamat tersebut, persembahan Lan Solo Next Level Showcase dianggap sebagai penanda aras ketika ini.  

“Kini saya lebih dikenali dengan nama Lan Solo, jadi dengan nama itu saya mahu letakkan diri saya ke peringkat yang lebih tinggi berbanding sebelum ini.  Itulah yang saya maksudkan dengan Next Level.  

“Bagi saya setiap penyanyi itu harus ada cita-cita yang lebih besar dan itulah yang saya tuju dan harapkan.  Mudah-mudahan dengan showcase ini, banyak lagi rezeki dan peluang yang lebih besar untuk saya dan keluarga selepas ini serta membuka mata ramai pihak terhadap bakat saya,” katanya.  

Showcase LSNL dengan kerjasama Matic ini akan diadakan pada 2 Mac 2019 bertempat di Dewan Tunku Abdul Rahman, Matic, Kuala Lumpur bermula pada jam 8 malam.  

Dalam showcase ini, Lan akan menyanyikan lagu-lagu hits beliau antaranya Seragam Hitam, Delaila, Luahan Hati, Resam Pak Belalang termasuk dua single selepas muncul secara solo iaitu Berpisah Tanpa Rela dan Twist Abang Sayang.  

Lebih istimewa dalam showcase ini, Lan turut mengundang rakan-rakan yang pernah sama-sama menganggotai kumpulan terdahulu.

Ainol, Ezal, Joe, Ejan dan Amai merupakan anggota kumpulan asal yang kini membawa haluan masing-masing. Oleh itu, reunion ini boleh dianggap sebagai sesuatu yang sangat istimewa dan luar biasa.  

Lan turut mengundang beberapa rakan artis yang pernah menyanyi bersama beliau.

Showcase ini juga bukan sekadar showcase biasa sebaliknya turut memberi hiburan sambil beramal.  Badan amal yang dipilih adalah Persatuan Klef, Bibir dan Lelangit Malaysia (Clapam).

Seperti mana yang diketahui umum, anak keempat Lan bersama isterinya Sheila mempunyai masalah sumbing, oleh itu persatuan ini antara persatuan yang banyak membantu ketika mereka menghadapi kesukaran.  

Justeru, ini antara usaha Lan membantu persatuan ini semula serta mahu menguar-uarkan persatuan tersebut agar semua ibu bapa yang mempunyai anak yang mengalami masalah sumbing dapat khidmat nasihat daripada Clapam yang lebih arif.  

Tiket untuk menyaksikan Lan Solo Next Level Showcase ini sudah mula dijual pada harga RM 88, RM 99, RM 129 & RM 149

Untuk sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut boleh WhatsApp ke nombor 01116996610 - Dahlia

Perkembangan showcase ini juga boleh diikuti di Facebook LAN SOLO  dan Instagram @lansolo_official