PELAKON berbakat besar, Fasha Sandha meluahkan rasa bersalah kerana tidak berkesempatan melawat dan memberi bantuan kepada Allahyarham Azean Irdawaty ketika dia masih hidup.

Jelas Fasha, 34, kesibukannya pada ketika itu telah membuatkan dia 'lupa' tentang tanggungjawab sebagai rakan artis.

"Tiga kali saya dapat bekerjasama dengan arwah,  ketika itu saya paling kerdil, arwah adalah seniwati yang disanjung tinggi.

"Arwah sering menasihati saya agar jangan lupa makan vitamin, supaya sihat selalu, arwah juga selalu mengajar saya tentang lakonan.

"Ketika saya sedang sibuk, arwah pula sedang berperang dengan kanser selama beberapa tahun, saya hanya sempat mengirimkan hanya sedikit sumbangan melalui seorang sahabat.

"Saya merasa amat bersalah kerana tidak berkesempatan melawat arwah dan memberikan bantuan ketika arwah masih hidup dan diwaktu yang sama arwah juga tertekan kerana kes yang melibatkan Benjy.

"Kesibukan saya pada ketika itu membuatkan saya ‘lupa’ tentang tanggungjawab saya sebagai rakan artis yang rapat dengan arwah sejak filem Anak Mami kembali," luahnya menerusi akaun Instagram miliknya.

Allahyarham meninggal dunia pada 17 Disember 2013 akibat penyakit kanser dan limfedema.

Tambah Fasha, dia telah terbaca berita mengenai anak arwah, Benjy yang kini sedang menghidapi asma kronik dan berpotensi untuk terkena batuk kering atau tuberculosis (TB) serta memerlukan pertolongan.

"Jika ada rezeki lebih,marilah kita sama membantu Benjy yang memerlukan. Tidak salah membantu mereka yang memerlukan dan janganlah kita mempersoalkan atau menghina dia, kerana kita tidak tahu apa akan jadi pada masa akan datang.

"Dugaan setiap manusia datang bermacam-macam cara. Kita tidak tahu apa akan jadi pada kita atau mungkin keluarga pada masa akan datang.

"Membantu tidak merugikan... malah mengajar kita tentang nilai kemanusiaan sesama insan," ujarnya.

Malah Fasha juga turut melahirkan rasa simpati dan mendoakan agar Benjy diberikan kesihatan yang baik di sana.

"Semoga Benjy belajar daripada semua kesilapan yang telah dilalui. Semoga ini juga dapat memberikan pengajaran kepada kita semua juga.

"Kepada mereka yang ingin membantu, sila hubungi Persatuan Seniman Malaysia," tambahnya lagi.

Benjy yang kini ditahan di penjara Penjara Tanjung Gusta Medan, Indonesia selepas didapati bersalah memiliki 4.5 gram dadah jenis methamphetamine, dijangka dibebaskan pada 2028.

Pelakon itu ditangkap pegawai Kastam dan Eksais sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kualanamu di Deli Serdang, Sumatera Utara pada 18 April tahun lalu.